
Bekas pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Wan Agyl Wan Hassan, berkata beliau “menyokong penuh” cadangan itu, memandangkan lanjutan tempoh sah mengurangkan kerumitan memperbaharui lesen terbabit.
“Bagaimanapun, penting bagi kerajaan memastikan pematuhan berkaitan diambil kira, seperti keupayaan memandu, dan penguatkuasaan undang-undang,” katanya kepada FMT.
Wan Agyl berkata, kemungkinan kelemahan kesan lanjutan tempoh sah lesen memandu melibatkan perubahan keadaan psikologi dan fizikal kerana usia, sekali gus menjejaskan kemampuan memandu dengan selamat.
“Melanjutkan tempoh lesen memandu mungkin menggalakkan mereka yang tidak lagi boleh memandu berterusan melakukan demikian, justeru meningkatkan risiko kemalangan dan kecederaan,” katanya.
Pada 2021, polis mendedahkan 17% nahas maut disebabkan pemandu berusia.
Bagaimanapun, katanya, isu itu boleh diselesaikan dengan rangka kerja dibentuk seperti melaksanakan proses ujian keupayaan buat pemandu berusia.
Beliau turut menyatakan di United Kingdom (UK), lesen memandu bagi mereka berumur 17 hingga 69 tahun sah selama 10 tahun. Selepas itu, lesen hanya boleh diperbaharui setiap tiga tahun dengan penilaian ketat kemampuan memandu.
Wan Agyl juga memberi contoh di New York, Amerika Syarikat, yang mengenakan lesen sah selama lapan tahun, dan New South Wales, Australia, dengan lesen maksimum sah 10 tahun.
Beliau berkata, kelemahan lain mungkin berlaku mengenai cadangan lanjutan tempoh lesen adalah mereka mempunyai sejumlah besar saman trafik masih lagi dibenarkan memandu.
Namun, katanya, kerajaan boleh menangani masalah berkenaan dengan sokongan teknologi dan penguatkuasaan undang-undang, termasuk mengutip saman secara tahunan dan tanpa pemberian diskaun.
Pada Rabu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata kerajaan mempertimbangkan melanjutkan tempoh sah lesen memandu kepada 10 tahun, berbanding lima tahun ketika ini.
Menjawab persoalan dibangkitkan di Dewan Rakyat, Loke berkata pegawai kementerian diarahkan melakukan kajian kebolehlaksanaan berhubung cadangan itu.
Katanya, pihak kementerian juga mempertimbangkan menawar diskaun kepada mereka yang memperbaharui lesen sehingga 10 tahun sebagai langkah menggalakkan orang ramai berbuat demikian.
Perunding pengangkutan, Rosli Azad Khan mengalu-alukan cadangan itu, namun berkata, kerajaan sepatutnya mempertimbang mengurangkan yuran pembaharuan serendah mungkin, jika tidak menjadikannya percuma.
Ketika ini, kos memperbaharui adalah RM30 setahun.
“Di UK, tiada bayaran dikenakan kepada mereka berusia 70 tahun ke atas untuk memperbaharui lesen, tetapi calon perlu melalui proses ketat,” kata Rosli sambil menambah mereka berusia di bawah 70 hanya perlu membayar £14 setiap 10 tahun.
Beliau berkata Malaysia harus mengikut langkah itu dan mengenakan syarat yang lebih ketat, seperti menghukum mereka yang didapati memandu tanpa lesen sah, dan mengenakan syarat ketat kepada pelajar memandu.
Sebagai contoh, beliau berkata, mereka perlu menghabiskan 30 jam pemanduan di jalan raya dengan sekolah memandu, berbanding keperluan 16 jam bagi menduduki ujian memandu.
Rosli berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mengenakan peraturan bahawa pelajar mesti mendapat markah penuh (100%) dalam ujian teori keselamatan jalan raya mereka. Pada masa ini, markah lulus ialah 84%.
Beliau juga mencadangkan umur bagi menunggang motosikal ditingkatkan kepada 18 tahun, berbanding 16 tahun.