
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Zarif Hashim menyambut baik komitmen kerajaan dalam melaksanakan projek itu sebagai inisiatif berimpak tinggi untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.
“MRT Corp komited dalam memastikan tadbir urus yang mantap di setiap peringkat projek dan akan terus melaksanakan kawalan kos berhemat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya akan menangani sebarang kesan terhadap pihak berkepentingan sepanjang proses pengambilan tanah dan pembinaan dengan penuh pertimbangan.
Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 berkata, kerajaan sedang mengkaji semula perincian projek itu untuk mencapai penjimatan tambahan bawah RM45 bilion berbanding RM50 bilion.
Kerja pembinaan projek MRT3 dengan jajaran sepanjang 50.8km yang meliputi perimeter Kuala Lumpur, disambung semula tahun lalu selepas ditangguhkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 dan tertangguh lagi akibat pandemik Covid-19.
MRT3 dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2030, dengan fasa pertama dijangka beroperasi mulai 2028.