Belanjawan 2023: ‘RM5.6 bilion tak cukup’, kata menteri Sarawak

Belanjawan 2023: ‘RM5.6 bilion tak cukup’, kata menteri Sarawak

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Julaihi Narawi berkata bagi liputan air sahaja di negeri itu memerlukan RM19 bilion.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Julaihi Narawi, berkata hanya RM2.5 bilion daripada keseluruhan RM12.1 bilion bagi Sarawak dan Sabah, diperuntukan untuk projek jalan, lampu jalan serta bekalan air dan elektrik.
PETALING JAYA:
Seorang menteri Sarawak menyifatkan dana infrastruktur kepada negeri itu tidak mencukupi bagi membangunkan liputan menyeluruh bekalan air di kawasan luar bandarnya.

Walaupun menghargai pengumuman RM5.6 bilion kepada Sarawak dalam Belanjawan 2023, di Dewan Rakyat, semalam, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Julaihi Narawi, berkata “Sarawak memerlukan RM19 bilion untuk liputan penuh bekalan air”.

Katanya, sejumlah RM2.5 bilion atau 20% sahaja daripada keseluruhan RM12.1 bilion dana bagi Sarawak dan Sabah, diperuntukan untuk projek jalan, lampu jalan serta bekalan air dan elektrik melibatkan dua wilayah itu. Sabah menerima peruntukan RM6.5 bilion.

“Sarawak masih memerlukan jumlah peruntukan besar untuk pembangunan prasarana utiliti di luar bandar terutamanya bekalan air. Kadar liputan bekalan air di luar bandar setakat ini hanya 67.2%.

“Memandangkan kawasan Sarawak adalah luas dengan bentuk muka bumi yang mencabar, jumlah peruntukan diperlukan mencapai liputan penuh bekalan air sebanyak RM19 billion,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, justeru peruntukan diumumkan belum memenuhi hasrat kerajaan negeri mencapai liputan penuh bekalan air menjelang 2030.

“….(Sarawak) berharap peruntukan yang lebih besar dapat disalurkan kepada Sarawak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.