Belanjawan 2023 mampu atasi kemiskinan pendidikan, kata menteri

Belanjawan 2023 mampu atasi kemiskinan pendidikan, kata menteri

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kemiskinan multidimensi bukan kemiskinan pendapatan semata-mata.

Fadhlina Sidek berkata, kemiskinan pendidikan meliputi kemiskinan nutrisi, peranti dan infrastruktur sekolah daif. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Belanjawan 2023 yang dibentangkan semalam dilihat mampu mengatasi isu kemiskinan secara multidimensi melibatkan pelbagai perkara, bukan hanya tertumpu kepada kemiskinan pendapatan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata belanjawan itu dilihat di landasan tepat untuk mengatasi kemiskinan dalam pendidikan, termasuk kemiskinan nutrisi dalam kalangan pelajar, peranti bagi pembelajaran digital dan infrastruktur melibatkan sekolah daif.

“Kemiskinan multidimensi kita tidak bercakap mengenai satu saja kemiskinan pendapatan, tetapi ia merentas pelbagai kemiskinan yang memerlukan solusi multidimensi. Salah satu aspirasi saya (selaku menteri pendidikan) adalah bagaimana mengatasi kemiskinan multidimensi.”

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Konvensyen Pembelajaran Digital 2023 di Universiti Malaysia Sabah yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan, Pkharuddin Ghazali.

Fadhlina berkata, kemiskinan nutrisi dalam kalangan pelajar, terutama golongan kurang berkemampuan, diberi perhatian kerajaan melalui program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah yang sedang ditambah baik.

Selain RMT, katanya, kerajaan juga akan melaksanakan program bagi mengatasi isu kemiskinan nutrisi dalam kalangan pelajar di peringkat lebih awal, antaranya di peringkat prasekolah melalui Belanjawan 2023.

“Melihat anak-anak kita kekurangan nutrisi amat menyayat hati, justeru apabila kita buat belanjawan ini, salah satu kita perjuangkan adalah nutrisi untuk anak-anak kita.”

Katanya, kemiskinan peranti boleh menjejaskan pembelajaran pelajar, dengan sesi pembelajaran semakin pantas menuju pembelajaran secara digital pasca pandemik Covid-19.

“Dalam Belanjawan 2023, sebanyak 50,000 peranti akan diberikan kepada pelajar di institusi pendidikan dan sekolah untuk memastikan mereka dapat mengikuti pembelajaran secara digital.”

Beliau berkata, kemiskinan infrastruktur, terutama melibatkan sekolah daif, diberi tumpuan penuh kerajaan melalui Belanjawan 2023, terutama di Sabah dan Sarawak bagi membolehkan pelajar menuntut ilmu dalam persekitaran selesa dan kondusif.

Belanjawan 2023 antara lain memperuntukkan RM1.2 bilion bagi menyegerakan pembaikan 400 klinik dan 380 sekolah daif; selain meningkatkan had sebut harga perolehan kerja pembaikan itu kepada RM1 juta berbanding RM500,000 sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.