Kerajaan kaji tutup, gabung agensi dan semak gaji eksekutif

Kerajaan kaji tutup, gabung agensi dan semak gaji eksekutif

Perdana menteri berkata, badan kerajaan dengan fungsi yang hampir mungkin digabungkan, dan agensi kerajaan perlu kembali ke matlamat asal.

Anwar Ibrahim berkata, Yayasan Pelaburan Bumiputera, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera dan Yayasan Ekuiti Nasional mungkin digabungkan kerana mempunyai fungsi yang hampir sama. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perbaharuan dijangka berlaku terhadap syarikat dan institusi berkaitan kerajaan yang mungkin melibatkan penutupan, penggabungan dan juga semakan semula gaji eksekutif badan berkanun.

“Pemusatan badan-badan kerajaan dengan fungsi yang hampir sama bertujuan supaya lebih efektif dalam menunaikan mandatnya.

“Sebagai contoh kerajaan mencadangkan penstrukturan semula institusi yang memperkasa pegangan pelaburan bumiputera dengan menggabungkan Yayasan Pelaburan Bumiputera, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera serta Yayasan Ekuiti Nasional dalam tempoh terdekat,” kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Katanya, kerajaan juga meneliti keperluan menstruktur semula semua agensi yang mengawal selia dan menyelaras ekosistem syarikat pemula dan inovasi, lapor Bernama.

Beliau berkata agensi kerajaan hendaklah kembali mengutamakan fungsi asal penubuhan mereka dan pengarahan baharu lebih tuntas perlu bagi meneliti kemungkinan menutup mana-mana syarikat subsidiari yang merugikan dan tidak selari dengan fungsi penubuhan.

Syarikat itu termasuklah syarikat ejen pelancongan, pengawal keselamatan dan teknologi maklumat.

“Kerajaan meneliti kemungkinan untuk melarang syarikat dan badan berkanun persekutuan untuk meneruskan amalan ini.

“Semakan semula juga perlu dilaksanakan ke atas pakej saraan ketua eksekutif dan pengurusan tertinggi syarikat dan badan berkanun pada kadar yang lebih munasabah,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan perpaduan dengan tegas akan melaksanakan reformasi institusi dan tata kelola yang baik bagi menghapus segala ruang yang boleh mewujudkan amalan rasuah dan penyelewengan yang sistematik.

“Semua agensi kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis sedang giat menyiasat salah laku rasuah termasuk nama-nama yang terkait dalam Pandora Paper.

“Agensi berkenaan juga akan terus menyiasat kekayaan luar biasa bagi memerangi jenayah rasuah daripada terus membarah,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.