Kekurangan murid SJKT di pedalaman akan diteliti, kata timbalan menteri

Kekurangan murid SJKT di pedalaman akan diteliti, kata timbalan menteri

Lim Hui Ying berkata kementerian mencari kaedah jangka masa panjang menyelesaikan isu berkenaan supaya SJKT di pedalaman dapat terus beroperasi.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata KPM mengenalpasti beberapa sekolah kurang murid di kawasan perladangan dan Felda. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kementerian Pendidikan (KPM) akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi meneliti isu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di kawasan pedalaman mempunyai bilangan murid sedikit.

Timbalan Menteri Lim Hui Ying berkata kementerian sedang mencari kaedah jangka masa panjang bagi menyelesaikan isu berkenaan agar sekolah Tamil di kawasan pedalaman dapat terus beroperasi.

“Ada beberapa sekolah kurang murid terutama di (kawasan) perladangan dan Felda. Ini kita akan teliti satu demi satu,” katanya selepas merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gunung Rapat.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasamy, dan ADUN Buntong, M Thulsi Thivani.

Difahamkan sebanyak 367 SJKT mempunyai bilangan murid kurang daripada 150 orang pada satu-satu masa.

Mengenai projek pemulihan dan penyelenggaraan sekolah dikategorikan sebagai projek ‘sakit’, Lim berkata terdapat beberapa punca mengakibatkan kelewatan persiapan termasuk kenaikan kos bahan mentah dan masalah pekerja kontraktor binaan.

Bagaimanapun, beliau berkata KPM terus memberi perhatian serius agar projek menaik taraf atau memindahkan ke bangunan sekolah baharu yang diluluskan kerajaan akan disegerakan.

“Setiap negeri, ada projek sekolah sakit tersendiri. Ini kita tidak menafikan. Banyak lagi projek masih dalam perancangan,” katanya.

SJKT Gunung Rapat dibina pada 1954 dan terletak di kawasan padat di tengah-tengah pekan Gunung Rapat mendapat tapak dan bangunan baharu selepas 10 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.