Tokoh pemikir Islam, Kamal Hassan meninggal dunia

Tokoh pemikir Islam, Kamal Hassan meninggal dunia

Beliau yang juga pengerusi Ikim itu menghembuskan nafas terakhir jam 2.27 pagi akibat komplikasi selepas pembedahan.

Mohd Kamal Hassan disifatkan sebagai seorang tokoh pemikir Islam yang mempunyai sumbangan besar kepada dunia akademik. (Gambar UIA)
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Kamal Hassan, meninggal dunia pada usia 80 tahun ketika menerima rawatan di Hospital Selayang Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan, Ikim memaklumkan, Kamal menghembuskan nafas terakhir jam 2.27 pagi akibat komplikasi selepas pembedahan.

Jenazah dibawa ke Surau Al-Mawaddah, Mutiara Bangi untuk dimandi dan dikafankan pada 8 pagi sebelum disembahyangkan selepas itu.

Jenazah akan disemadikan di tanah perkuburan Islam Bandar Baru bangi di Sungai Tangkas, Bangi.

Kamal yang dilantik sebagai pengerusi Ikim pada 24 Feb 2022 merupakan seorang pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan, serta pembangunan modal insan.

Beliau dilahirkan pada 1942 di Pasir Mas, Kelantan serta mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Malaya pada 1965, dan kemudian menyambung pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah dari Universiti Columbia, New York pada 1975.

Keilmuan serta ketokohan beliau diiktiraf di peringkat antarabangsa dan Kamal pernah menjadi rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1999 sehingga 2006.

Beliau turut berperanan sebagai pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam, yang ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.