Pinda Akta Orang Asli untuk jamin hak, kata Zahid

Pinda Akta Orang Asli untuk jamin hak, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata, pindaan itu melibatkan perkara seperti pendaftaran perkahwinan, kelahiran dan kawasan rayau.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan meletakkan sasaran 300 anak Orang Asli wajib memasuki universiti setiap tahun. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Akta Orang Asli 1954 akan dipinda tidak lama lagi untuk menjamin hak golongan itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, pindaan itu menumpukan perkara seperti pendaftaran perkahwinan dan kelahiran serta kawasan rayau Orang Asli.

“Kita mahu perkahwinan yang diadakan secara adat ini mempunyai sijil sah dan mengikut perundangan.

“Orang Asli perlu diberi peluang untuk menjaga kepentingan, maka kerajaan sangat komited melaksanakannya,” katanya selepas lawatan kerja ke Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Beliau berkata, pindaan itu memerlukan dua pertiga sokongan di Parlimen yang akan dibincangkan bersama Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor.

Katanya, urusetia Pembangunan Ekonomi Orang Asli ditubuhkan, dengan Ramli dilantik sebagai pengerusi, manakala Jakoa bertindak sebagai sekretariat.

“Saya bincang dengan timbalan speaker Dewan Rakyat (Ramli) dan Jabatan Peguam Negara.

“Sebarang perkara mengenai pindaan akan lebih cepat berbanding pengenalan akta baharu.”

Katanya, peluang pendidikan juga perlu diberikan kepada masyarakat itu ke tahap tertinggi dengan sasaran 300 anak Orang Asli wajib memasuki universiti setiap tahun.

“Untuk mencapai matlamat itu, motivasi dan kelas tambahan akan dilaksanakan,” katanya sambil menambah terdapat kira-kira 209,000 Orang Asli di seluruh negara ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.