KPM tak mansuh IDME, tambah baik masa ke masa

KPM tak mansuh IDME, tambah baik masa ke masa

Fadhlina Sidek berkata, KPM mengambil langkah ‘accommodative’ dalam memastikan guru boleh mengisi maklumat secara dalam atau luar talian.

Fadhlina Sidek berkata, ia disebabkan pelbagai masalah timbul dalam penggunaan sistem pengurusan identiti itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan memansuhkan penggunaan sistem pengurusan identiti (IDME) buat masa ini, sebaliknya terus menambah baik dari semasa ke semasa.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata berikutan pelbagai masalah yang timbul dalam penggunaan sistem itu, KPM mengambil langkah “accommodative” dalam memastikan guru boleh mengisi maklumat secara dalam atau luar talian.

“Dengan isu yang berlaku seperti guru tertekan dan sebagainya, kita ambil maklum dan terus memperbaiki sistem ini dari semasa ke semasa.

“Banyak lagi sistem yang akan mereka isi, tapi saya akan pastikan sistem ini sentiasa ‘on track’ untuk memastikan tiada lagi kesan seperti dinyatakan,” katanya ketika menggulung usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) sama ada KPM akan menghapuskan IDME, selepas ramai guru merayu sistem itu dikaji semula kerana disifatkan menyusahkan dan menyebabkan mereka tertekan, malah mengganggu tugasan hakiki lain.

Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) juga dilaporkan meminta KPM menangguhkan penggunaan IDME yang belum stabil, selain mendakwa ia belum sesuai digunakan untuk mengisi markah ujian akhir sesi akademik (UASA).

IDME yang dibangunkan KPM, diakses secara “single sign on”, iaitu secara tunggal melalui laman sesawangnya. Semua warga pendidik yang mengisi UASA serta pentaksiran bilik darjah mesti melalui sistem tersebut, iaitu mereka perlu mendaftar masuk.

Susulan itu, KPM bersetuju menangguhkan pelaksanaan IDME supaya semua pihak boleh bertenang, di samping langkah tertentu dapat diambil bagi menyelesaikannya.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina memaklumkan KPM melaksanakan pengambilan 22,327 guru pada 2021 dan 2022 yang ditempatkan di seluruh negara dalam usaha mengatasi masalah kekurangan guru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.