Tumpu industri kreatif, lantik segera ahli Finas, menteri digesa

Tumpu industri kreatif, lantik segera ahli Finas, menteri digesa

Ini kerana agensi kerajaan bawah Kementerian Komunikasi dan Digital tidak dapat berfungsi menjalankan dasar industri sedia ada kerana tiada lantikan dibuat.

Presiden PFM Pansha berkata rayuan telah dibuat kepada Kementerian Komunikasi dan Digital bagi mempercepatkan proses pelantikan, namun tiada keputusan.
PETALING JAYA:
Persatuan Penerbit Filem (PFM) sekali lagi menggesa Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil memberi fokus terhadap pembangunan industri kreatif negara serta melantik ahli Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) secepat mungkin.

Presidennya, Pansha berkata, agensi kerajaan di bawah KKD bertanggungjawab dalam pembangunan industri perfileman tempatan tidak dapat berfungsi untuk menjalankan dasar industri sedia ada kerana sehingga kini, pengerusi dan ahli Perbadanan Finas belum dilantik.

“Walaupun rayuan telah dibuat kepada KKD bagi mempercepatkan proses pelantikan, namun tiada keputusan. Permohonan untuk menayangkan filem tempatan melalui Jawatankuasa Skim Wajib Tayang Finas semakin bertindih kerana tiada lantikan baru pengerusi terdiri kalangan ahli Finas.

“Tambah lagi dengan keputusan dasar peringkat kerajaan perpaduan dikeluarkan melalui Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Finas tidak diguna pakai kerajaan negeri merujuk kepada filem Pulau,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, ini membimbangkan penerbit atau pelabur peringkat tempatan mahupun antarabangsa pada masa akan datang untuk melibatkan diri dalam pembangunan filem tempatan kerana dasar kerajaan tiba-tiba berubah sekelip mata.

Pansha berkata, cukai hiburan 25% amat tinggi masih dikenakan terhadap setiap penjualan tiket oleh kerajaan persekutuan dan negeri.

Tambahnya, berdasarkan kajian kutipan “Box Office” filem tempatan dikeluarkan oleh Finas secara terperinci 3 tahun sebelum, pihaknya mendapati industri perfileman tempatan di ambang keruntuhan.

“Filem telah siap tetapi tidak boleh mendapatkan tarikh dan lokasi tayangan daripada Finas menyebabkan beban kewangan besar terhadap penerbit untuk terus merancang pelan perniagaan, mempromosi filem, mendapatkan tajaan dan sebagainya.

“Ada penerbit meminjam daripada bank atau pelabur untuk menghasilkan filem. Sudah pasti setiap hari menjalani hidup sebagai penerbit filem lebih sengsara,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Finas tidak bertanggungjawab memberikan kelulusan tayangan trailer filem bergenre seram “Pulau” yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengandungi adegan panas dan lucah.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Md Nasir Ibrahim dilaporkan berkata, garis panduan kandungan penerbitan terletak di bawah bidang kuasa LPF.

Media turut melaporkan, “Pulau” bakal ditayangkan 9 Mac depan menerima kecaman pelbagai pihak yang menggesa LPF mengkaji semula kelulusan karya terbitan WebTVAsia dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.