
Setiausaha Penaja Parti Hijau Malaysia (PHM), Abdul Razak Ismail.
Katanya, Anwar perlu membuktikan beliau serius membanteras rasuah dengan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan hasil siasatan apabila mendakwa wujud salah laku oleh kerajaan negeri dalam meluluskan pembangunan kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong.
“Berdasarkan kenyataan Anwar di Parlimen supaya pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas ahli atau pemimpin PKR sekiranya terlibat dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah, maka PHM menggesa SPRM segera mendedahkan hasil siasatan.
“Untuk membuktikan kesungguhan Anwar membanteras rasuah, salah guna kuasa tanpa memilih bulu, walaupun ianya melibatkan pemimpin PKR, maka skandal kuari di Bukit Lagong ini adalah kes terbaik untuk tujuan itu,” katanya dalam kenyataan.
“Ini kerana hasil siasatan terlalu lama. Wajar sangat Anwar Walk The Talks’.. “Cakap Serupa Bikin” untuk benteras rasuah dalam tempoh 100 pemerintahan kerajaan perpaduan ini.”
Mengulas lanjut, Razak berkata, sudah lebih empat bulan pihaknya membuat laporan di pejabat SPRM Shah Alam dan Putrajaya namun dimaklumkan kes masih dalam siasatan.
“Kami beranggapan kepimpinan kerajaan Selangor telah melakukan banyak salah laku, pelanggaran tata kelola berhemah, percanggahan kepentingan.
“lsu kuari Bukit Lagong ini telah dilaporkan secara meluas oleh media kebelakangan ini,” katanya.
Sebelum ini, PHM serta sebuah NGO, Projek Pendedahan Rimba (RDP) mendedahkan, 27 kawasan di Hutan Simpan Bukit Lagong akan diteroka sebagai kuari baharu melibatkan salah satu syarikat GLC kerajaan negeri.
Malaysiakini turut melaporkan, RDP mendapati lebih banyak kawasan iaitu seluas 887 hektar atau 1,657 padang bola, akan ditebang untuk memberi laluan kepada aktiviti kuari.
RDP turut mendakwa, tanah Hutan Simpan Bukit Lagong dijual pada harga RM150,000 seekar menerusi laman web EdgeProp.
Malah, laporan kepada SPRM juga telah dibuat supaya pembangunan di kawasan berkenaan disiasat.
Sebelum ini, Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian dipetik sebagai berkata, pelaksanaan pembangunan kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong akan dibuat secara berperingkat mengikut tempoh tertentu bagi mengawal impak alam sekitar selain mengelakkan isu pasaran bahan batuan semasa.
Hee berkata, kelulusan sebanyak 19 kawasan kuari baharu adalah bagi menggantikan kuari lama yang akan tamat tempoh operasinya.