
Pendakwa raya ad hoc V Sithambaram berkata, sejumlah 44 set hujahan bertulis difailkan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan antara 2020 dan 2021, menerangkan semua elemen kes pembelaan termasuk isu dibangkitkan untuk mempertikaikan pendakwaan.
“Kini mereka (pembelaan) datang dan mengadu mereka tidak didengari (ketika pendengaran rayuan pada Ogos tahun lalu).
“Malah peguam (Hisyam Teh Poh Teik) berkata ketika itu mereka bergantung kepada 44 set hujahan itu,” kata Sithambaram.
Sithambaram berkata, demikian sebagai membalas dakwaan pembelaan bahawa panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini hanya mendengar hujahan daripada pendakwaan, dan bukan dari peguam Najib, di mana ketika itu mereka (peguam) berkata tidak akan membuat sebarang hujahan.
“Peguam sendiri (Hisyam) yang enggan mengemukakannya. Kini mereka menggunakannya sebagai alasan untuk melayakkan Najib mendapat pendengaran semula dan mendakwa terdapat pelanggaran keadilan.
Ketua Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli kemudiannya bertanya sama ada panel sebelum ini menjemput Hisyam untuk membuat hujahan.
Sithambaram menjawab pembelaan dijemput untuk berbuat demikian tetapi Hisyam bertegas untuk tidak berhujah.
Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa hantaran Facebook suami Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, Zamani Ibrahim pada 2018 dijadikan alasan peguam Najib untuk meminta beliau menarik diri, tidak diendahkan pembelaan sebelum ini.
Zamani membuat komen dengan menyuarakan “sentimen negatif” mengenai kepimpinan Najib selepas Barisan Nasional tewas pada PRU14.
“Bergantung hanya semata-mata kepada hubungan suami isteri untuk mendakwa (komen Zamani) juga adalah pandangan beliau (Tengku Maimun) adalah tak masuk akal dan tidak mencukupi untuk menyebabkan berat sebelah.
“Ini tidak menunjukkan beliau (Zamani) mempunyai permusuhan peribadi terhadap Najib tetapi sebaliknya komen umum tentang rakyat di media sosial,” kata Sithambaram.
Selain Rahman, pendengaran hari ini dilakukan di panel hakim dianggotai Vernon Ong, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan, dan Abu Bakar Jais.
Pada 28 Julai 2020, Najib disabit bersalah oleh Hakim Nazlan Ghazali, yang ketika itu menjadi hakim Mahkamah Tinggi, atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan pecah amanah jenayah, membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.
Rayuannya di Mahkamah Rayuan ditolak, pada 8 Dis 2021.
Beliau dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.
Bekas perdana menteri itu memfailkan usul menyemak keputusan penghakiman atas alasan mahkamah melanggar prinsip keadilan asasi, termasuk hak mendapatkan perbicaraan adil dan peguam.
Pendengaran bersambung pada 27 Feb ini.