
Beliau berkata pengganti bagi mengisi jawatan itu akan dilantik dalam masa terdekat.
“Saya sudah jumpa Wan Saiful, pagi tadi dan lepas bincang (beliau) setuju untuk letak jawatan sebagai ketua penerangan Bersatu,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Terdahulu, Wan Saiful meminta Bersatu membenarkannya berundur sebagai ketua penerangan berikutan tuduhan rasuah yang dihadapinya di mahkamah.
Semalam, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu meminta dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan inisiatif Jana Wibawa.
Beliau juga dituduh meminta suapan melibatkan projek bernilai RM232 juta berkait inisiatif berkenaan.
Sementara itu, Muhyiddin menjelaskan peletakan jawatan Wan Saiful itu bukan hukuman daripada parti.
Beliau menghargai tindakan Wan Saiful melepaskan jawatan berkenaan kerana enggan menimbulkan pandangan negatif terhadap Bersatu.
“Ini bukan sebab Wan Saiful bersalah atau tidak. Ini ‘standard’ (prosedur) apabila berhadapan dengan apa-apa tuduhan.
“Saya cukup hargai langkah (ini). Tanggungjawab (jawatan ketua penerangan Bersatu) nanti akan dipimpin (pimpinan) Bersatu lain,” katanya.