Masih ada majikan ingkar arahan pengurangan waktu kerja, kata MTUC

Masih ada majikan ingkar arahan pengurangan waktu kerja, kata MTUC

Majikan memberi alasan tidak boleh melaksanakan Pindaan Akta Kerja 1955 kerana belum menerima arahan bertulis daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata pengurangan waktu kerja tidak memerlukan kebenaran Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengecam majikan masih lagi ingkar mematuhi pengurangan waktu kerja daripada 48 jam kepada 45 jam seperti termaktub dalam pindaan Akta Kerja 1955.

Setiausaha Agungnya Kamarul Baharin Mansor berkata, majikan memberi alasan tidak boleh melaksanakan arahan itu kerana belum menerima arahan bertulis daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Hakikatnya, menurut Kamarul, pindaan dikuatkuasakan pada 1 Jan lalu itu tidak memerlukan kebenaran daripada JTK.

“Pelbagai taktik dan helah majikan untuk menafikan faedah pekerjaan sepertimana dalam Akta Kerja 1955,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan pelaksanaan pindaan Akta Kerja 1955 yang sepatutnya mula dikuatkuasa pada 1 Sept 2022 namun ditangguhkan kepada 1 Jan tahun ini.

Antara kandungan pindaan ditangguhkan itu ialah penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata, susulan pelaksanaan pindaan itu, terdapat majikan mengubah terma kerja dengan mengtakrifkan waktu rehat bukan lagi waktu kerja.

“Malah ada syarikat menambah masa rehat untuk membolehkan waktu pulang sama,” katanya.

Justeru, beliau meminta agar persatuan majikan memainkan peranan dengan menasihati ahlinya supaya mematuhi pindaan Akta Kerja.

“Syarikat tidak boleh tersalah arah dengan mengurangkan faedah sedia ada untuk menyesuaikan pindaan baharu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.