
Penjual yang ditemui berkata buat masa ini mereka mengurangkan stok daripada pemborong, kerana bimbang kehilangan pelanggan sekiranya menaikkan harga jualan. Namun, mereka khuatir akan terpaksa gulung tikar jika keadaan berterusan.
“Sebelum ini saya naikkan harga lebih kurang RM2-RM3 masih dapat keuntungan, sekarang terus rugi. Kalau naikkan lagi harga, mesti tiada orang datang beli. Dalam keadaan ini macam mana raih keuntungan?” kata Roslina, yang berniaga di sebuah pasar di Shah Alam.
Roslina sendiri terkejut dengan kenaikan harga sayur di pihak pemborong.
“Dulu saya pernah tanam sayur, tak pernah lagi saya dengar harga kacang panjang boleh jual sampai RM14 sekilogram, bayam pula mencecah RM18 sekilogram. Harga ini dari pemborong sahaja, belum ambil kira lagi kos upah dan penghantaran.”
Roslina berkata kenaikan harga bekalan sayur yang boleh berubah secara kerap dalam tempoh seminggu menyukarkan penjual. Situasi bertambah buruk apabila tiba musim tengkujuh.
“Kualiti sayur itu tak baik akibat musim hujan, nak mengadu dengan siapa? Contohnya, biasanya terdapat 40 bungkus dalam sekotak sayur, saya dapat untung RM1 bagi sebungkus, tapi jika ada satu bungkus yang rosak, saya sudah rugi.”
Seorang lagi penjual sayur, yang hanya ingin dikenali sebagai Chao, 53, berkata perniagaannya rugi sebanyak 50% berbanding tahun lalu.
Beliau berkata penjual terpaksa menghadap apa sahaja harga yang dikenakan pemborong, kerana peniaga perlukan bekalan dalam apa jua keadaan.
“Kalau musim hujan, harganya mesti naik punya,” katanya. “Apa yang boleh dilakukan hanya mengurangkan bekalan.”
Harga sayur berdaun misalnya kini boleh mencecah RM5 hingga RM6 sekilogram daripada RM3 hingga RM4.
“Nak salahkan siapa? Salahkan kerajaan pun tak patut juga kerana mereka pun tak boleh kawal cuaca,” katanya.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini berkata harga beberapa jenis sayur-sayuran meningkat sebanyak 160%.
Menurut CAP, harga bendi meningkat sebanyak 166% daripada RM6 sekilogram bulan lepas kepada RM16 sekilogram bulan ini; kacang panjang pula meningkat dua kali ganda harga daripada RM6 sekilogram kepada RM12 sekilogram; tomato daripada RM4.50 sekilogram kepada RM10 sekilogram (peningkatan 120%); dan terung daripada RM7 sekilogram kepada RM12 sekilogram (peningkatan 71%).
Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur berkata cuaca hujan menyebabkan kekurangan bekalan manakala Persekutuan Persatuan Peladang Sayur Malaysia berkata banjir di berapa ladang menyumbang kepada kurangan itu.
Suri rumah yang ditemui berkata mereka pun terpaksa mengurangkan pembelian lantaran peningkatan harga yang mendadak.
“Sebelum ini, saya biasanya membeli hingga tiga hingga empat jenis sayur untuk keperluan tiga anak,” kata Afiqah Bahrin.
Gayathri pula berkata dia akan usahakan juga sayuran untuk anaknya yang sedang membesar, meskipun harga semakin mahal.