Menu Rahmah: Yii mahu Dr Halimah dirujuk ke jawatankuasa Parlimen

Menu Rahmah: Yii mahu Dr Halimah dirujuk ke jawatankuasa Parlimen

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu mendakwa Dr Halimah Ali cuba mengelirukan Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali sepatutnya lebih cermat dengan kata-katanya sebagai doktor, selain tanggungjawab menjadi wakil rakyat.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen DAP menghantar usul merujuk Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali, ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berkaitan dakwaan bahawa beliau mengaitkan program Menu Rahmah dengan kanser dan autisme.

Walaupun Halimah menafikan membuat kenyataan itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, menuduh wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) berkenaan cuba mengelirukan Dewan Rakyat.

Dalam hantaran di Twitter, Yii berkata, usul terbabit dihantar mengikut Peraturan Mesyuarat 36(12) susulan membuat kenyataan mengelirukan, yang mana disifatkan menghina Dewan.

Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 36 (12) menyatakan mana-mana ahli membuat kenyataan mengelirukan disifatkan menghina Dewan dan boleh dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“Sebagai Ahli Parlimen sah dan merupakan ahli pertubuhan perubatan, beliau sepatutnya cermat dan bertanggungjawab dengan kata-katanya,” katanya.

“Hakikatnya, beliau diberi banyak peluang untuk memohon maaf dan menarik kenyataannya, (namun) berterusan mengelirukan termasuk orang awam dan Dewan.”

Katanya, Halimah cuba mengelirukan Dewan Rakyat apabila menafikan kenyataan seperti itu diucapkannya dan memohon Dewan merujuk hansard bagi membuktikan dakwaannya.

“Bagaimanapun, menurut Hansard Dewan Rakyat, pada 14 Feb termasuk rakaman video ketika persidangan, jelas menunjukkan kenyataan itu diucapkan di Dewan. Bukti itu juga dikemukakan kepada Speaker bagi tindakan lanjut.

“Justeru, demi memastikan setiap Ahli Parlimen menjunjung tinggi kebertanggungjawaban dalam ucapan dan tatasusila, saya menyeru Speaker meluluskan usul berkenaan,” katanya.

Halimah dalam perbahasan 14 Feb lepas dilaporkan berkata, beliau tiada masalah dengan istilah Rahmah atau apa sahaja, tetapi jangan sampai golongan B40 diberikan bekalan “makanan yang tidak berkualiti dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, ‘autoimmune disease’, autisme dan sebagainya”.

Ulasan Halimah itu mengundang kritikan Ahli Parlimen lain dan kumpulan berkaitan autisme, namun beliau kemudian menyatakan kenyataannya disalah tafsir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.