
Peningkatan bayaran mengerjakan ibadah haji berkenaan turut dijangkakan Lembaga Tabung Haji (TH).
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Amrin Awaluddin, dalam kenyataan sebelum ini menjangkakan kos haji tahun ini meningkat sekitar RM31,000, berbanding RM28,000 tahun lalu.
Namun, Amrin berkata, agensi itu tetap meneruskan Bantuan Kewangan Haji Bersasar yang dibiayai daripada pendapatan pelaburan kepada semua bakal jemaah haji muassasah.
Peningkatan kos mengerjakan haji itu tidak hanya terkesan kepada umat Islam negara ini sahaja malah turut membabitkan negara lain termasuk Indonesia, Brunei dan Thailand.
TH turut memaklumkan faktor yang mempengaruhi kenaikan kos haji terbabit adalah sesuatu di luar kawalan agensi tersebut.
Peningkatan ketara selepas pandemik
Berkongsi pandangan mengenai perkara itu, Azlan Shaiful Baharum, yang menjadi pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) menyifatkan peningkatan bayaran mengerjakan haji bukan isu baharu kerana ia berlaku saban tahun.
Beliau yang berpengalaman sebagai mutawif dengan pelbagai agensi swasta sejak 2016, berkata bagaimanapun kos mengerjakan haji itu menunjukkan peningkatan ketara selepas pandemik Covid-19.
“…kita tidak boleh cakap kenaikan kos haji ini hanya terkesan kepada umat Islam di negara ini semata-mata tetapi juga negara Islam lain turut terkena tempiasnya.
“Mungkin kelebihan pada umat Islam dari negara lain, misalnya di Indonesia, rakyatnya sanggup membayar tinggi mengerjakan haji kerana bagi mereka itulah waktu yang mereka mempunyai peluang ke tanah suci. Bagi rakyat negara lain, mungkin faktor nilai mata wang mereka tinggi, jadi mereka tiada masalah sangat untuk membayar harga yang lebih tinggi bagi mengerjakan haji,’’ katanya kepada Bernama.
Pandangan senada turut disuarakan Ketua Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Shuhairimi Abdullah, yang mengulangi umat Islam Indonesia sebenarnya turut dibebani dengan peningkatan kos haji lebih tinggi berbanding, tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat perbezaan bayaran mengerjakan haji antara Malaysia dan Indonesia berdasarkan kepada pertimbangan serta keperluan yang perlu ditanggung jemaah haji.
“Kemudahan yang disediakan TH untuk jemaah haji Malaysia sudah tentu berbeza dengan apa yang disediakan agensi pengurusan haji Indonesia, seperti TH menawarkan khidmat rawatan perubatan percuma serta pelbagai perkhidmatan lain seperti penerbitan buku dan risalah panduan haji yang turut diberi percuma.
“Terdapat juga perbezaan kos dari segi logistik serta kemudahan lain termasuk penginapan yang disediakan TH untuk jemaah yang mana lebih dekat untuk ke Masjidil Haram (kurang 1,000m),’’ katanya.
Memetik laporan media April tahun lalu, kerajaan Indonesia dilaporkan bakal memotong subsidi ibadah haji rakyat negara berkenaan.
Menurut laporan Suara.com, tindakan itu yang terpaksa dilakukan dengan alasan pembiayaan pada ketika ini terlalu mahal, akan dilakukan secara berperingkat.
Ketua Badan Pengurusan Kewangan Haji (BPKH), Anggito Abimanyu turut dilaporkan menyokong langkah berkenaan kerana menurut beliau, prinsip menunaikan haji hanya untuk mereka yang mampu.
Kos sebenar menunaikan ibadah haji di negara itu bagi seorang individu adalah sekitar 70 juta rupiah (RM20,000), tetapi jemaah Indonesia hanya perlu membayar separuh daripadanya iaitu sekitar 35 juta rupiah (RM10,000).
Ketua Pengarah Haji dan Umrah Kementerian Agama Indonesia, Hilman Latief turut memaklumkan berlaku penyelarasan kos haji atau Bipih (sejumlah wang yang wajib dibayar oleh warganegara yang akan menunaikan ibadah haji) sepanjang pelaksanaan ibadah haji pada 2023.
Pada 2022, jemaah membayar Bipih berjumlah 39.8 juta rupiah (RM12,958) dari jumlah yuran haji keseluruhan bernilai 98 juta rupiah (RM29,690).
“Berbeza pula dengan Malaysia apabila jemaah haji muassasah dari kumpulan B40 dikenakan bayaran RM10,980, manakala yang bukan B40 dikenakan bayaran RM12,980. Ketika ini juga TH masih lagi memberikan subsidi kepada dua kategori ini iaitu sebanyak 62% (B40) dan 55% (bukan B40),” kata Shuhairimi.