
Wan Fayhsal menyamakan perarakan tersebut sebagai acara peragaan busana (cosplay), satu dramatisasi “menunjukkan naratif sejarah Islam pada masa lalu”.
“Saya rasa ini reaksi keterlaluan daripada orang ramai, terutamanya, maaf cakap, bukan Melayu dan bukan Islam,” katanya kepada pemberita di luar kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Sambil mengakui beliau tidak boleh bercakap bagi pihak PAS, Wan Fayhsal berkata beliau yakin parti itu tidak agresif atau “memberi mesej salah tentang Islam”.
“Salah faham ini harus dihapuskan, dan media harus membenarkan ahli PAS menjelaskan kepada umum secara menyeluruh.
“Saya rasa mereka (PAS) telah menjelaskannya, menjustifikasi (perarakan) itu,” katanya.
Ditanya sama ada Bersatu menyokong perarakan itu, Wan Fayhsal berkata, terdapat isu lebih besar seperti peningkatan kos sara hidup dan rasuah.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyelar perarakan seperti tentera itu dengan menyatakan, ia bukan sahaja tidak wajar, malah boleh menimbulkan keresahan orang ramai.
Saifuddin menjelaskan isu berkisar kaum, agama dan hak masih belum reda selepas PRU lalu.
Katanya, insiden tersebut disiar dalam bentuk ‘video clip’ dengan latar belakang nasyid dalam bahasa Arab yang jelas menekankan tema peperangan.
Beliau memberi amaran kepada semua pihak agar menghentikan apa jua perbuatan yang berpotensi menimbulkan huru-hara, dan akan mengambil tindakan tegas terhadap kepada sebarang elemen mengancam ketenteraman, keharmonian dan keselamatan rakyat.
Perbarisan yang menampilkan anggota dari Pemuda PAS di Setiu, Terengganu menyaksikan kumpulan itu berarak dengan replika pedang, lembing, dan perisai.
Perarakan itu sebahagian daripada perhimpunan dua hari PAS dikenali sebagai Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit).