
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd Nordin, berkata pengadu yang membuat aduan palsu boleh dikenakan tindakan.
“Jika ada bukti dari Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia lagi bagus. Terus failkan saman terhadap pengadu itu,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas laporan FMT berhubung seorang penjawat awam wanita yang mendakwa menjadi mangsa aduan palsu sekumpulan wanita berusia 20-an menerusi SISPAA baru-baru ini.
Kumpulan itu terbongkar selepas penjawat awam berkenaan dihubungi sumber rapat ‘pengadu’ terbabit yang menceritakan helah mereka. Menurutnya, kumpulan lima wanita itu mempunyai lebih daripada satu akaun e-mel untuk membuat aduan, bertujuan menunjukkan pegawai terbabit ‘benar-benar bermasalah’ sehingga menerima banyak aduan.
Kumpulan itu dikatakan bekerjasama menyerang seseorang pegawai kerajaan sehingga dikenakan tindakan tatatertib hanya untuk kepuasan.
Rahman berkata SISPAA mekanisme untuk orang ramai membuat aduan terhadap pegawai kerajaan yang terlibat salah laku, justeru membidas penyalahgunaannya.
Beliau menggesa pegawai integriti yang menguruskan sistem itu supaya menjaga kerahsiaan maklumat dalam sistem itu, agar bagi memastikan keadilan bagi semua pihak yang berkenaan.
“Biar siasatan dibuat dan jika penjawat awam benar-benar bersalah, barulah diambil tindakan sewajarnya,” tegasnya.