Adam Radlan dijangka berdepan banyak lagi dakwaan berkait Jana Wibawa

Adam Radlan dijangka berdepan banyak lagi dakwaan berkait Jana Wibawa

Seorang lagi ahli perniagaan juga akan didakwa berkaitan program Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok.

Terdahulu, Adam Radlan Adam Muhamad didakwa meminta dan menerima rasuah RM500,000 melibatkan projek pembinaan jalan raya di Perlis di bawah program Jana Wibawa.
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dijangka menghadapi lebih banyak pertuduhan berhubung program Jana Wibawa.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ahli perniagaan itu akan berdepan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok, dan satu lagi pada minggu depan.

Manakala seorang lagi ahli perniagaan juga akan didakwa berkaitan program Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok.

Terdahulu, Adam didakwa meminta dan menerima rasuah RM500,000 bagi membantu MIE Infrastructure and Energy Sdn Bhd mendapatkan surat perjanjian projek pembinaan jalan raya di Perlis di bawah Jana Wibawa.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Secara berasingan, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, minta dibicarakan selepas dituduh menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan inisiatif Jana Wibawa.

Kedua-dua mereka ditahan SPRM semalam.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, mendakwa partinya mangsa “pendakwaan terpilih” susulan dakwaan terhadap Wan Saiful dan Adam Radlan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.