
Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di Balai Polis Tapah, di Padawan, Sarawak dalam cubaanya membuat “prank” menghantar kek kepada seorang anggota di balai polis itu.
Ketua Polis Padawan, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata suspek disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek pergi Balai Polis Tapah dengan memperkenalkan diri kepada pengadu sebagai ‘pegawai kanan polis dari Bukit Aman’.
Abang Zainal berkata ketika berada di kaunter aduan, suspek turut memperkenalkan dirinya sebagai pegawai turus daripada Bukit Aman dan kedatangannya ke balai terbabit untuk menangkap pengadu.
“Suspek selepas itu berkata hendak keluar untuk mengambil fail dalam kenderaannya dan apabila masuk semula ke balai terbabit, suspek membawa sebiji kek dan menyatakan bahawa perbuatannya itu hanya ‘prank’.
“Kek yang dibawa suspek itu adalah daripada seorang pelanggan yang ditempah untuk diberikan kepada pengadu,” katanya menurut Utusan Borneo.
Abang Zainal berkata perbuatan suspek itu melampaui batas dan rakan setugas pengadu memberikan amaran bahawa tindakan suspek adalah salah.
“Suspek sekali lagi memberitahu bahawa dia adalah seorang anggota polis yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching.
“Berikutan itu, pengadu dan rakan setugas membuat pemeriksaan lanjut ke atas dokumen suspek dan mendapati bahawa suspek adalah orang awam,” jelasnya sambil menambah, isteri suspek menjalankan perniagaan tempahan kek.
Suspek ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan akan direman di Mahkamah Kuching, hari ini.