
Perkara itu didedahkan Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid, susulan laporan Pengarah Pilihan Raya PAS, Sanusi Md Nor, yang mengesahkan berlaku pertemuan antara Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir, dan kepimpinan tertinggi PAS baru-baru ini.
Rafique berkata pertemuan itu dalam usaha Pejuang mengukuhkan kehadirannya dalam landskap politik selepas mengambil kira keperluan PRN di enam negeri tidak lama lagi, apabila parti itu tidak lagi bersama Gerakan Tanah Air (GTA).
“Kita juga berjumpa dengan beberapa pemimpin gabungan lain juga, termasuk parti dari PH, kita bercakap dengan mereka juga,” katanya kepada FMT yang enggan mendedahkan parti mana.
Bagaimanapun, menurut Rafique, Pejuang masih mengkaji dan memperhalusi “rakan kerjasama” mereka, sambil menambah keputusan muktamad hasil perbincangan dengan semua parti akan dibuat dalam tempoh dua atau tiga bulan dari sekarang.
“Setakat ini, Pejuang dalam perbincangan dengan kedua-dua gabungan (PH dan PN). Belum ada keputusan lagi, mungkin ambil masa dua, tiga bulan untuk kita muktamad kerjasama,” katanya.
Pada 14 Jan, Pejuang mengambil keputusan untuk keluar daripada GTA, ekoran kekalahan pada PRU15.
Mukhriz berkata keputusan itu bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti, selain mengambil kira pandangan perwakilan dalam perhimpunan agung parti pada bulan lalu.
Bagaimanapun, tindakan itu tidak dipersetujui Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi GTA, menyebabkan beliau bersama 11 lagi pengikutnya keluar Pejuang pada 10 Feb.
Dalam pada itu, Rafique berkata proses penstrukturan semula sedang berlaku dalam Pejuang dan yakin tidak ada istilah sabotaj kerana kepimpinan baharu sedang merencana dan melaksana gerak kerja yang teratur.
“Tetapi bila ada perjumpaan dengan mana-mana pemimpin parti lain, mereka lihat ada nilai tambah pada Pejuang,” katanya.