Najib langsung ‘tak diwakili’ susulan peguam ‘dipaksa’ kekal, mahkamah diberitahu

Najib langsung ‘tak diwakili’ susulan peguam ‘dipaksa’ kekal, mahkamah diberitahu

Peguam Najib Razak, Shafee Abdullah berkata keputusan hakim tidak membenarkan Hisyam Teh Poh Teik menarik diri merupakan pelanggaran keadilan asasi.

Najib Razak memohon kebenaran menyemak penolakan rayuannya oleh Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan akhirnya mengenai sabitan dan hukuman dalam kes rasuah SRC International.
PUTRAJAYA:
Najib Razak secara keseluruhannya “tidak diwakili” pada rayuan terakhir sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah SRC International, sidang lima Hakim Mahkamah Persekutuan diberitahu.

Mahkamah mendengar permohonan Najib memohon kebenaran untuk menyemak penolakan rayuannya pada 23 Ogos tahun lalu, dan satu lagi permohonan memohon sidang hakim lain di Mahkamah Persekutuan untuk mendengar balik kesnya dengan sekurang-kurangnya tujuh anggota.

Peguam Najib, Shafee Abdullah, berkata keputusan Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan permohonan peguam, Hisyam Teh Poh Teik, menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu tidak lama sebelum pendengaran rayuan berlangsung seolah-olah seperti “representasi terpaksa”.

Shafee berkata Hisyam pada 18 Ogos 2022 sudah memaklumkan kepada sidang lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, berhubung hasrat menarik diri daripada mewakili Najib.

Hisyam berkata beliau tidak mempunyai cukup masa membuat persediaan selepas permohonan menangguhkan pendengaran ditolak.

Beliau memohon penangguhan “tiga ke empat bulan” bagi membolehkan beliau membuat persiapan, namun sidang hakim menolak permohonan itu dan mengarahkannya terus mewakili Najib sehingga penghujung pendengaran.

Hisyam dilantik mengetuai pasukan pembelaan Najib kurang sebulan, pada 25 Julai, dengan firma Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners bertindak sebagai peguamcara, menggantikan Shafee dan firmanya, Shafee & Co.

Penolakan permohonan penangguhan menyebabkan Hisyam “terbelenggu” ketika mewakili Najib kerana tidak mempunyai masa secukupnya melakukan persediaan, kata Shafee di mahkamah.

“Kebebasan peribadi (Najib) menjadi pertaruhan selepas beliau dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan dikenakan denda sebesar RM210 juta,” katanya.

Pendengaran berlangsung di hadapan sidang lima hakim, diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli.

Sidang hakim lain melibatkan Hakim Vernon Ong, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan, dan Abu Bakar Jais.

Pada 28 Julai 2020, Najib disabit bersalah oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Nazlan Ghazali, yang ketika itu menjadi hakim Mahkamah Tinggi, atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan pecah amanah jenayah, membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Rayuannya di Mahkamah Rayuan ditolak, pada 8 Dis 2021.

Beliau dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.

Bekas perdana menteri itu memfailkan usul menyemak keputusan penghakiman atas alasan mahkamah melanggar prinsip keadilan asasi, termasuk hak mendapatkan perbicaraan adil dan peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.