Mana bukti, soal PKR berkait dakwaan PAS ditawar jawatan TPM

Mana bukti, soal PKR berkait dakwaan PAS ditawar jawatan TPM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendedahkan parti itu dihubungi pihak yang menawarkan jawatan timbalan perdana menteri sebagai balasan sekiranya PAS menyertai kerajaan Anwar selepas PRU15.

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, meminta PAS membuktikan dakwaan bahawa ia ditawarkan jawatan TPM oleh pihak dalam kerajaan perpaduan.
PETALING JAYA:
PKR mencabar PAS membuktikan dakwaan bahawa parti itu ditawarkan jawatan timbalan perdana menteri oleh pihak dalam kerajaan perpaduan.

“PAS boleh kemukakan bukti sekiranya ada,” kata Pengarah Komunikasi Lee Chean Chung, sambil menambah kenyataan itu sengaja dibuat pihak yang masih tidak berpuas hati terhadap keabsahan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Dalam ucapan sempena majlis perasmian Himpunan Pemuda Islam Terengganu 2023 pada Jumaat lalu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mendakwa parti itu dihubungi pihak yang menawarkan jawatan timbalan perdana menteri sekiranya PAS menyertai kerajaan Anwar selepas PRU15.

Malah, beliau mendakwa “pihak yang membuat tawaran” sanggup mengeluarkan kos untuk membayar PAS bagi menampung perbelanjaan pilihan raya.

“Ada orang tanya kenapa PAS tak ambil alih kerajaan walaupun menang banyak kerusi? Tak masak lagi, belum masak lagi, walaupun begitu mereka yang menipu ambil alih kerajaan dalam ketakutan.

“Terang-terang saya sebut… dedahkan di sini, mereka (pihak dalam kerajaan sekarang) menghubungi PAS minta sertai kerajaan, sanggup nak bagi PAS jadi timbalan perdana menteri, dan sanggup nak bayar PAS berapa juta untuk belanja pilihan raya,” katanya dipetik dalam ucapan dimuat naik di Facebook.

“Ini tawaran dan kita tolak tawaran itu, itu bukan cara kita. Banyaklah broker-broker, daripada dalam negara dan luar negara termasuk yang bertaraf menteri luar negara, datang jumpa, bukan saja duta. Pelbagai kalangan, kita tak jual perjuangan kita dengan murah.”

Kerajaan perpaduan kini dianggotai Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Rakyat Sabah, dan Gabungan Parti Sarawak.

Lee yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya memberitahu PAS supaya menerima hakikat penubuhan kerajaan perpaduan.

“Ada yang masih tidak puas hati, biasalah manusia. Nak politik, bolehlah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.