Kurang 1 LCS, kos bina tetap sama, kata menteri pertahanan

Kurang 1 LCS, kos bina tetap sama, kata menteri pertahanan

Mohamad Hasan berkata kosnya tidak berubah disebabkan kenaikan harga barangan dan penambahan kos pembinaan.

Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata tiada pengurangan harga siling projek pembinaan LCS bernilai RM9 bilion walaupun hanya lima unit akan diterima, bukannya enam.
KUALA LUMPUR:
Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata tiada pengurangan harga siling projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion walaupun unit dikurangkan daripada enam kepada lima.

Menurutnya, perkara itu disebabkan kenaikan harga barangan dan penambahan kos pembinaan.

“Sebenarnya tidak ada pengurangan dalam harga siling yang diluluskan. (Harga) siling tetap yang sama, oleh sebab ‘variation order’ (perubahan kerja) dan peningkatan pertambahan kos, keadaan harga semua meningkat,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat.

Mohamad menjawab pertanyaan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) berhubung kos pembinaan LCS yang dikurangkan dari enam kepada lima unit.

Pada 30 Jan lalu, Panglima Tentera Laut Abdul Rahman Ayob memaklumkan Tentera Laut akan menerima lima unit kapal LCS, bukannya enam, dalam projek bernilai RM9 bilion.

Rahman berkata pengurangan bilangan kapal LCS daripada enam kepada lima unit itu dipersetujui selepas permohonan meneruskan projek itu dibincangkan semula oleh kerajaan.

Pada 5 Jan lalu, Mohamad berkata kerajaan akan meneruskan projek LCS sebagai sebahagian daripada pengukuhan tentera laut.

Projek LCS itu, dikatakan sebagai perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah negara, diteliti tahun lepas selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan bahawa tidak ada satu kapal pun disiapkan walaupun Putrajaya membelanjakan RM6.08 bilion.

PAC berkata tentera laut sepatutnya menerima lima daripada kapal itu pada Ogos tahun lepas.

Projek itu diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui rundingan terus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.