Polis tahan dalang sindiket penipuan pekerjaan

Polis tahan dalang sindiket penipuan pekerjaan

Suspek dipercayai menggunakan lesen agensi pekerjaan untuk menghantar rakyat Malaysia bekerja di Thailand dan Myanmar di mana mereka dibiarkan terkandas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abdul Jalil Hassan bersama lima rakyat Malaysia yang berjaya dibawa pulang hari ini selepas terperangkap dengan sindiket penipuan pekerjaan di Thailand. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Beberapa individu dari dua agensi pekerjaan yang dipercayai terbabit merekrut rakyat Malaysia untuk bekerja di luar negara ditahan kerana penglibatan mereka dalam kes penipuan kerja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abdul Jalil Hassan berkata tangkapan itu dibuat oleh pihaknya bulan lepas dan kini disiasat oleh Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran.

“Syarikat ini mempunyai lesen untuk membawa masuk pekerja asing untuk bekerja di Malaysia sebagai pembantu rumah, buruh binaan dan pekerja ladang.

“Bagaimanapun, mereka didapati mengambil kesempatan untuk eksport rakyat Malaysia untuk bekerja di luar negara seperti Thailand dan Myanmar sehingga mereka terkandas di sana.

“Polis akan bekerjasama dengan Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen untuk siasatan serta mencari dalang sindiket… Saya percaya dalang-dalang ini ada di kedua-dua negara dan mereka bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media kepulangan lima rakyat Malaysia dari Thailand yang terjebak dengan sindiket penipuan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Jalil turut mengingatkan badan bukan kerajaan (NGO) dan waris mangsa untuk menyalurkan maklumat kepada polis atau Kementerian Luar bagi memastikan penyaluran maklumat dari Malaysia kepada pihak berkuasa Thailand hanya melalui satu saluran rasmi sahaja.

“Isu maklumat yang bertindih adalah halangan paling besar dihadapi pihak berkuasa Thailand sebab bila kita salurkan maklumat kepada mereka, mereka terganggu sama ada nak terima maklumat daripada NGO atau polis. Benda itu tak selaras.

“Jadi, kita ambil kata putus agar selepas ini hanya maklumat yang disalurkan oleh kedutaan atau polis sahaja yang akan dilayan,” katanya.

Pada masa sama, Jalil mengingatkan rakyat tempatan supaya berfikir panjang jika menerima tawaran kerja di luar negara dengan bayaran gaji yang lumayan.

“Ini sepatutnya menjadi tanda tanya apabila syarikat luar boleh tawarkan mereka sehingga US$2,000 (kira-kira RM8,800) sedangkan mereka tiada kelulusan atau apa-apa pengalaman kerja. Sila fikir banyak kali walaupun ia ditawarkan daripada agensi pekerjaan yang sah,” katanya.

Beliau berkata dengan kepulangan lima mangsa tersebut, pihaknya dan Polis Thailand berjaya menyelamatkan 12 orang setakat ini dan sedang mengesan baki 14 lagi yang masih terkandas di sana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.