Pelajar UniKL ditemukan lemas di Langkawi

Pelajar UniKL ditemukan lemas di Langkawi

Mayat Muhammad Fahmi Hafizi Zulkifli dijumpai tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Ketua Polis Langkawi Shariman Ashari berkata, Muhammad Fahmi Hafizi Zulkifli ditemui lemas selepas hilang ketika mandi di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang pelajar kejuruteraan penerbangan sebuah universiti swasta ditemui lemas hari ini selepas dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi semalam.

Ketua Polis Langkawi Shariman Ashari berkata, mayat Muhammad Fahmi Hafizi Zulkifli, 20, yang juga pelajar Universiti Kuala Lumpur – Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) dijumpai pasukan penyelamat di lokasi mangsa dilaporkan hilang iaitu lebih kurang 50 meter dari pantai.

“Mayat dicamkan oleh ibu, ibu saudara dan sepupu mangsa. Pengesahan kematian dibuat oleh kakitangan perubatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

Shariman berkata, seramai 69 anggota dan pegawai terdiri daripada polis, bomba, Maritim serta Angkatan Pertahanan Awam terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Dalam kejadian pada petang semalam itu, Fahmi dilaporkan lemas ketika mandi di pantai itu bersama rakan-rakannya.

Fahmi dilaporkan cuba diselamatkan rakan-rakan serta pengunjung namun gagal kerana arus kuat.

Mangsa yang beralamat di Langgar, Alor Setar bersama rakan-rakannya dikatakan baru dua minggu berada di pulau pelancongan berkenaan bagi menjalani latihan industri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.