KKM diberi penjelasan berkait pembekalan 108 ventilator rosak, kata Dr Zaliha

KKM diberi penjelasan berkait pembekalan 108 ventilator rosak, kata Dr Zaliha

Menteri Kesihatan berkata, pegawai sudah memberi penjelasan mengenai Laporan Ketua Audit Negara berhubung perolehan ventilator rosak itu.

Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau sudah dimaklumkan mengenai pembekalan ventilator rosak itu dan di mana pembaikan boleh dilakukan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan sudah mendapatkan penjelasan mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berhubung pembekalan ventilator rosak ketika pandemik yang melibatkan kerugian RM13 juta, kata menterinya, Dr Zaliha Mustafa.

Zaliha berkata, beliau sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan pegawai juga sudah memberi penjelasan kepadanya, lapor Bernama.

“Kita ambil maklum (mengenai ventilator) dengan perkara-perkara lain yang dilakukan pada waktu darurat dan lihat di mana kita boleh lakukan pembaikan,” katanya.

LKAN yang dikeluarkan Khamis lepas mendapati hanya 28 daripada 136 ventilator yang diperoleh KKM melalui tatacara perolehan darurat dapat digunakan, dengan baki 108 unit ventilator dibekalkan sebuah syarikat, tidak dapat digunakan kerana tidak sesuai dan tidak selamat untuk pesakit.

Laporan itu menyebut susulan itu, KKM memulangkan 15 daripadanya kepada pengilang, manakala tuntutan kerugian sebanyak RM13.07 juta bagi 93 unit lagi tidak dapat dilaksanakan kerana tidak terdapat sebarang dokumen perolehan antara syarikat itu dengan kementerian.

Ketika ditanya mengenai penyediaan Kertas Putih perolehan vaksin Covid-19, Zaliha berkata ia dibuat bukan untuk mencari kesalahan pentadbiran terdahulu, sebaliknya bagi penambahbaikan proses berkenaan pada masa akan datang.

Katanya, pasukan kerja yang ditubuhkan bagi menyediakan Kertas Putih itu akan melihat kepada beberapa perkara yang boleh ditambah baik daripada apa yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini.

“…bukan untuk melihat kesilapan atau kesalahan (kerajaan terdahulu) tetapi untuk mengeluarkan satu cara terbaik, lebih berintegriti, memastikan ada juga keuntungan di pihak kerajaan dan sebagainya.

“(Sebab) kita faham dokumen (perolehan) itu dilakukan pada waktu darurat, tetapi mungkin ada perkara yang perlu dititikberatkan,” kata beliau kepada pemberita selepas perasmian Wellness Hub Hospital Sultanah Aminah.

Ketika ditanya tarikh Kertas Putih dibentangkan di Parlimen, Ahli Parlimen Sekijang itu berkata Kertas Putih berkenaan masih dalam proses untuk disiapkan dan dibentangkan terlebih dahulu kepada Jemaah Menteri sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.

Pada 8 Feb lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dipetik sebagai berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan Kertas Putih perolehan vaksin dan kos berkaitan, yang didakwa sebahagiannya tidak mengikut peraturan dan ditandatangani menteri tanpa persetujuan Peguam Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.