
Hakim Mahkamah Sesyen Rohatul Akmar Abdullah memerintahkan tertuduh Ronie Maharudin, 46, membayar denda itu serta merta tanpa ansuran, dan jika gagal, perlu menjalani hukuman penjara setahun, lapor Bernama.
Ronie mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan suatu dokumen sebagai tulen, iaitu penyata akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik Kembar Mega Enterprise bagi Oktober, November dan Disember 2018 dalam permohonan tender berkenaan.
Dia dituduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu palsu dan melakukan perbuatan tersebut di Pejabat E-Idaman Sdn Bhd, di Bandar Baru Stargate, Alor Setar pada 22 Feb 2019.
Ronie didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Ronie dalam rayuan yang diwakili peguam Hanif Hassan memohon supaya dikenakan hukuman ringan iaitu denda yang rendah tanpa penjara.
Menurut Hanif, perniagaan anak guamnya merudum sejak setahun lepas, manakala keadaan ekonomi tidak menentu selepas wabak.
Ronie juga mempunyai tiga anak yang masih belajar, berusia 15 hingga 21 tahun, serta perlu menjaga kedua ibu bapanya yang tua.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rehab Abdul Shukur yang mengendalikan kes itu memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal yang berbentuk pengajaran sebagai teladan kepada masyarakat.
Tertuduh kemudian membayar denda itu.