
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berharap cadangan penubuhan itu dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat pada Jun ini selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri serta pengurusan tertinggi.
“Saya menjangkakan sekiranya perlu diwujudkan suruhanjaya ini, ia makan masa setahun atau dua tahun, ia bukan begitu cepat.
“Tetapi fungsi atau bidang kuasa tugas (mengawal keselamatan siber) dipikul badan seperti CyberSecurity Malaysia (CSM) akan diteruskan,” katanya selepas menghadiri Majlis Khatan Perdana Parlimen Lembah Pantai hari ini.
Selain itu, Fahmi juga berhasrat mengkaji semula dasar kriptografi negara untuk memperkemas semula aspek keselamatan data di negara ini.
Katanya, kriptografi melibatkan penyulitan (encryption) yang merupakan kunci keselamatan data dan ketika ini, negara-negara lain telah mula melaksanakan dasar baharu melibatkan kriptografi kuantum iaitu bidang matematik yang lebih tinggi.
Pada Januari lepas, Fahmi dilaporkan berkata, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berhasrat menubuhkan Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia sebagai langkah memperkukuh keselamatan siber di negara ini.