
Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun, berkata dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, anggota bertugas membuat intipan sebelum mengenal pasti seorang lelaki sedang berjalan sambil membawa bungkusan makanan ke dalam semak itu.
Beliau berkata, suspek yang juga warga Thailand kemudian dilihat menyerahkan makanan terbabit kepada sekumpulan lelaki dan perempuan dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil serbuan mendapati seramai 78 lelaki dan 19 wanita warga Myanmar sedang menyorok, dipercayai selepas masuk ke negara ini secara haram melalui jalan sungai sempadan Malaysia-Thailand.
“Semua Pati berusia 16 hingga 58 tahun itu didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk memasuki Malaysia. Anggota kemudian menahan semua Pati bersama tekong berkenaan dan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk siasatan lanjut,” katanya menurut Berita Harian.
Zaki berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
“Anggota turut merampas satu telefon bimbit dan wang tunai RM3,000 disyaki hasil daripada aktiviti pemerdagangan manusia.
“Kawalan akan terus diperketatkan di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengurangkan ketirisan kes jenayah rentas sempadan antara kedua-dua negara,” katanya.