Tular video rosak peralatan hari terakhir persekolahan, PPD panggil pelajar, kata menteri

Tular video rosak peralatan hari terakhir persekolahan, PPD panggil pelajar, kata menteri

Fadhlina Sidek berkata PPD telah memanggil pelajar termasuk ibu bapa mereka bagi membantu siasatan.

Tangkap layar sekumpulan pelajar sekolah menengah di Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang merosakkan harta benda didakwa meraikan hari terakhir persekolahan semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sekumpulan pelajar di sebuah sekolah menengah di Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang didakwa merosakkan harta benda sebagai tanda meraikan hari terakhir persekolahan semalam.

Perbuatan mereka terbongkar selepas video itu tular di media sosial.

Dalam video berdurasi hampir satu minit, beberapa pelajar dilihat merosakkan kerusi, kipas siling serta pintu tandas sekolah tersebut.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan pengurusan sekolah telah memanggil kumpulan pelajar yang disyaki terlibat dengan insiden itu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) SPS mengambil maklum berhubung isu terbabit dan tindakan pihak sekolah adalah memanggil pelajar termasuk ibu bapa mereka bagi membantu siasatan.

“Barangkali bimbingan serta kaunseling juga perlu diberikan kerana berdasarkan video tular itu, saya tidak fikir ia satu perkara sepatutnya berlaku. Apatah lagi dalam keadaan kita memang tidak berkompromi dengan vandalisme dan keganasan di sekolah.

“Justeru, bimbingan dan kaunseling perlu diberikan kepada anak-anak ini bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang,” katanya menurut Kosmo.

Kata Fadhlina lagi, perbuatan itu bukan budaya dan siasatan dibuat bagi mencari penyebab insiden berkenaan.

“Saya tak fikir itu (vandalisme) budaya, saya fikir ada perkara lain menyebabkan mereka melakukan perbuatan tersebut tapi kita akan siasat. Seharusnya ia tidak wajar pun menjadi budaya pada mana-mana sekolah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.