
Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong berkata lima suspek yang memakai topeng, sarung tangan serta bersenjatakan parang itu meletakkan kenderaan mereka di laluan belakang rumah mangsa sebelum memasuki kediaman itu melalui pintu belakang.
Katanya, ketika kejadian ada lima sekeluarga berumur 38 hingga 70 tahun berada di dalam rumah tersebut.
Suspek kemudiannya mengikat tangan serta menutup mulut empat daripada mereka sebelum ditempatkan di dalam dua bilik, manakala seorang lagi mangsa tidak diikat, dipercayai atas faktor usia.
“Suspek turut memukul seorang mangsa perempuan berusia 45 tahun di bahagian hidung dan badan sebelum mengetuk kepalanya menggunakan belakang parang sehingga cedera.
“Suspek kemudian menyelongkar bilik dan melarikan wang tunai kira-kira RM4,000, barang kemas bernilai sekitar RM20,000 dan lima telefon bimbit, sebelum keluar melalui pintu sama,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kereta yang digunakan suspek kemudiannya dijumpai di sebuah lorong di kawasan perumahan Taman Desawan, Klang, dan semakan mendapati kereta berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek atau kejadian itu diminta menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan dengan menelefon 03-33762222 atau hubungi mana-mana balai polis yang berhampiran.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan samun, dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan, yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun, denda atau sebatan,” katanya.
Satu rakaman video berkaitan kejadian samun itu juga turut tular di media sosial dengan memaparkan sekumpulan lelaki bertopeng keluar dari pintu belakang rumah dan terus menaiki sebuah kereta.