KDN sedang muktamad sempadan baharu Malaysia-Indonesia, kata Saifuddin

KDN sedang muktamad sempadan baharu Malaysia-Indonesia, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri berkata sempadan baharu antara perkara dibincangkan Malaysia dan Indonesia menerusi Perjanjian Lintas Batas (CBA).

Saifuddin Nasution Ismail berkata pintu masuk baharu antara Malaysia dan Indonesia itu susulan pembangunan Nusantara, ibu negara baharu negara itu di Kalimantan Timur. (Gambar Bernama)
TUMPAT:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang terlibat dalam memuktamadkan pintu masuk baharu antara Malaysia dan Indonesia susulan pembangunan Nusantara, ibu negara baharu negara itu di Kalimantan Timur.

Menterinya Saifuddin Nasution Ismail berkata sempadan baharu antara perkara dibincangkan Malaysia dan Indonesia menerusi Perjanjian Lintas Batas (CBA).

“Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) sudah selesai berada di Indonesia, kita akan ada sempadan baharu dengan Nusantara.

“KDN sekarang ikut terlibat dalam memuktamadkan CBA yang kami harap akan dapat dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Pada sesi lawatan tersebut, beliau turut mengambil peluang melihat kawalan keselamatan di sepanjang Sungai Golok, yang bersempadan dengan Thailand.

Saifuddin berkata terdapat tiga komponen akan dimuktamadkan dalam mengenal pasti pintu masuk baharu itu.

“Ada tiga komponen iaitu mengenal pasti titik ke titik pintu masuk di sebelah kita (Malaysia) dan sebelah Indonesia, berapa luas kawasan yang akan kita liputi melalui perjanjian itu dan kategori penduduk (berhampiran pintu masuk).

“Dari segi perundingan mengikut jadual, kalau nanti tentatifnya berlaku lawatan rasmi Presiden Indonesia Jokowi (Joko Widodo) ke Malaysia pada tahun ini antara komponen penting adalah menandatangani perjanjian tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.