
Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, dakwaan itu boleh menimbulkan kebimbangan dan waswas bagi golongan kurang mampu yang sangat mengharapkan sajian Menu Rahmah.
Ketua Amanah Terengganu itu juga bertanya adakah dakwaan liar yang dibuat Ahli Parlimen PAS itu dibuat atas dasar iri hati politik atas kejayaan penerimaan luas rakyat terhadap Menu Rahmah ini sehingga sanggup melempar dusta dan kesangsian.
Raja Kamarul berkata, sebagai seorang doktor Halimah sepatutnya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan.
Beliau juga menuduh Halimah memutar belit fakta untuk kepentingan politik, tanpa memikirkan kebajikan rakyat.
“Mereka menimbulkan keraguan terhadap makanan dalam Menu Rahmah supaya rakyat menjauhinya tanpa mencadangkan satu alternatif,” katanya.
Halimah mencetuskan kontroversi selepas beliau dilaporkan mengaitkan skim Menu Rahmah dengan autisme dan kanser ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 14 Feb lalu.
Kenyataan Halimah menyebabkan beberapa Ahli Parlimen menggesa beliau memberi penjelasan lanjut. Sebahagian lagi mahu Halimah meminta maaf.
Halimah kemudiannya memberitahu Malay Mail bahawa berlaku salah faham terhadap kenyataannya itu dan beliau sebenarnya merujuk kepada kualiti rendah bahan mentah yang digunakan restoran untuk Menu Rahmah “boleh menjejaskan kualiti makanan”.
Semalam, Senator Ras Adiba Radzi mendakwa kenyataan Halimah itu menghina komuniti orang kurang upaya (OKU) dan menggesa beliau dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk tindakan lanjut.
Katanya, kenyataan Halimah tanpa fakta dan data sains itu memberi pemahaman salah kepada masyarakat.
Program Menu Rahmah yang menawarkan harga makanan di bawah RM5 dilancarkan pada 31 Jan lalu.