
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata SKMM telah memaklumkan pihak berkenaan telah beberapa kali menerbitkan bahan yang tidak mematuhi peraturan.
“Pihak SKMM akan memaklumkan kepada saya dalam masa terdekat apakah status, kita tunggu dulu hasil siasatan dan laporan daripada pihak SKMM,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Jelajah Saya Digital di Pusat Komuniti Pantai Eco Park, Kuala Lumpur.
Semalam, Fahmi menafikan kerajaan akan mengurangkan bilangan penjawat awam sambil meminta Berita 757 untuk memberi penjelasan lanjut.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut mengingatkan pengamal media supaya tidak mengeluarkan berita berunsur fitnah demi keharmonian negara.
“Ada beza hak untuk bersuara, media bebas menjalankan tugas itu kita pertahankan tapi tak bermaksud hak untuk menerbitkan bahan tidak benar ataupun fitnah, jadi kena ada keseimbangan dan titik temu dari segi itu,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata KKMM ketika ini sedang meneliti Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 kerana didakwa terbuka kepada penyalahgunaan.
Sebelum ini Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menggesa pindaan dilakukan terhadap peruntukan itu kerana menurutnya beberapa undang-undang sedia ada di negara ini membenarkan mereka yang berkuasa menyekat pengkritik yang mengeluarkan kenyataan tidak sehaluan
“Masih terlalu awal untuk disebut, apakah seksyen yang sedang diteliti masih dalam pertimbangan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, mengulas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Finas, Fahmi berkata, perbincangan sedang dilakukan untuk meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia bagi mengelak isu ahli Lembaga Finas menerima geran dan sebarang manfaat daripada dana kerajaan.
Katanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menegur isu Dana Kandungan Digital (DKD) dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara membabitkan Finas.
Katanya, beliau telah bertemu dengan ketua pegawai eksekutif Finas bagi memahami keadaan yang berlaku serta tindakan perlu diambil untuk mengelak masalah ini berulang.
“Saya berpuas hati dengan maklum balas dan penjelasan CEO Finas dan harapan kita, mereka yang memegang jawatan ahli lembaga Finas tidak boleh menerima geran dan manfaat daripada segi kerjaya mereka,” katanya sambil menegaskan, tidak wajar sesiapa yang berada dalam lembaga berkenaan mengambil kesempatan.
LKAN 2021 Siri 2 mendapati, penyaluran DKD berjumlah RM4 juta kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dengan ahli perbadanan.
Semakan audit mendapati DKD RM4 juta disalurkan kepada enam syarikat yang mempunyai kepentingan antaranya milik isteri dan anak ahli lembaga pengarah Finas.