
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata kejayaan menyelamatkan lebih 60% rumah tangga peserta sebelum ini mendorong pihaknya meneruskan penganjuran yang akan diadakan tidak lama lagi.
“Kebanyakan pasangan yang dipilih telah berkahwin melebihi lima tahun. Kita nak bantu selamatkan perkahwinan mereka dengan harapan dapat kembali mesra sepanjang program itu,” katanya selepas Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Terengganu For Turkiye di Masjid Rusila di sini.
Majlis pelancaran tabung itu disempurnakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang selepas menyampaikan kuliah mingguannya di masjid berkenaan.
Menurut Hanafiah, pasangan suami isteri dipilih akan menyertai program bulan madu itu selama tiga hari dua malam di lokasi menarik yang diisi pelbagai program, termasuk slot motivasi.
Beliau berkata, program itu dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu bagi mengurangkan jumlah perceraian.
Baru-baru ini, media melaporkan jumlah ibu tunggal di Terengganu menunjukkan peningkatan, iaitu kira-kira 10,000 orang dalam tempoh tiga tahun.