Negara Eropah tak bantu Turki dilanda gempa, dakwa Hadi

Negara Eropah tak bantu Turki dilanda gempa, dakwa Hadi

Presiden PAS itu berkata, negara Eropah lebih cenderung membantu Ukraine yang berperang dengan Rusia demi mempertahankan kedudukan mereka.

Abdul Hadi Awang berucap pada majlis pelancaran Tabung Kemanusiaan Terengganu untuk rakyat Turki hari ini. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mendakwa negara Eropah tidak menunjukkan usaha membantu Turki yang dilanda gempa bumi baru-baru ini, sebaliknya sanggup membelanjakan berbilion dolar untuk perang di Ukraine.

Katanya, negara Eropah lebih cenderung membantu Ukraine yang berperang dengan Rusia semata-mata mahu mempertahankan kedudukan mereka.

“Maka, tanggungjawab untuk membantu saudara-saudara kita ini (Turki) jatuh ke bahu kita sendiri.

“Pasukan Malaysia (pasukan mencari dan menyelamat) sudah berada di sana bertugas bagi membantu rakyat Turki yang terjejas,” katanya di Twitter sempena pelancaran Tabung Kemanusiaan Terengganu untuk rakyat Turki.

Beliau berkata, mereka yang tidak mampu ke Turki untuk membantu, boleh menghulurkan bantuan dalam bentuk sumbangan kepada tabung itu.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6 pada 6 Feb lalu yang berpusat di wilayah Kahramanmaras, menjejaskan lebih 13 juta orang di 11 wilayah Turki, dengan angka korban dilaporkan mencecah 44,000 orang.

Pasukan penyelamat Malaysia turut dihantar ke Turki bagi membantu misi mencari dan menyelamat.

Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri turut menyelaras bantuan kemanusian dari Malaysia ke Turki, termasuk daripada NGO.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.