Lynas beritahu mampu penuhi syarat, kata bekas menteri

Lynas beritahu mampu penuhi syarat, kata bekas menteri

Yeo Bee Yin berkata, pelombong nadir bumi Australia itu telah mengesahkan komitmennya untuk membangunkan kemudahan retak dan larut lesap baharu di Kalgoorlie, Australia Barat.

Yeo Bee Yin memuji Putrajaya kerana mempertahankan pendiriannya dan terus mengenakan syarat kepada Lynas.
PETALING JAYA:
Seorang bekas menteri mempertikaikan rayuan Lynas terhadap syarat lesen operasinya di Malaysia, dengan mendedahkan bukti bahawa syarikat pelombong nadir bumi Australia itu sebelum ini menyatakan ia mampu memenuhi syarat tersebut.

Bekas menteri tenaga, teknologi, sains, perubahan iklim dan alam sekitar Yeo Bee Yin berkata, apabila lesen Lynas disemak empat tahun lepas, syarikat itu berusaha melobi untuk tidak memenuhi janjinya dalam mematuhi syarat tertentu atas dasar “pembangunan ekonomi, pekerjaan dan pelaburan langsung asing”.

“Bagaimanapun, kami enggan melihat pengumpulan sisa radioaktif yang tidak berkesudahan di Malaysia, justeru kami meletakkan syarat untuk mengeluarkan semua sisa radioaktif dari negara ini dengan mengalihkan kemudahan retak dan larut lesap dalam tempoh empat tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Mengikut syarat baharu ini, Lynas mempunyai empat tahun untuk membina kemudahan retak dan larut resap di tempat lain.

“(Syarikat itu) kemudiannya mengumumkan bahawa mereka dapat memenuhi syarat yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia dan akan membina kemudahan retak dan larut lesap di Kalgoorlie, Australia.”

Yeo melampirkan kenyataan Lynas bertarikh 27 Feb 2020, yang mengatakan ia dapat memenuhi syarat memindahkan kemudahan retak dan larut lesapnya di Gebeng, Pahang, keluar dari Malaysia sebelum Julai tahun ini.

Syarikat itu turut mengesahkan komitmennya untuk membina kemudahan baharu di Kalgoorlie.

Yeo turut melampirkan surat aku janji daripada Lynas, yang menyatakan bahawa syarikat itu akan mengeluarkan semua sisa yang dijana di kilangnya di Gebeng dari Malaysia jika perlu, dalam tempoh lesen operasi sementaranya.

Beliau mendakwa kemudahan baharu di Kalgoorlie hampir siap, tetapi Lynas berhasrat untuk menjalankan operasi kedua-dua kemudahan di Australia dan Malaysia untuk “memaksimumkan keuntungan”.

“Bolehkah sebuah syarikat di mana-mana negara memutuskan sendiri perkara yang perlu mereka patuhi dan yang tidak, mengikut suka dan minat mereka sendiri?” soal Yeo.

“Atas nama ekonomi dan geopolitik, bolehkah sebuah syarikat dibiarkan terlepas daripada komitmen bertulisnya, bukan sekali, tetapi dua kali dalam negara yang bermaruah?”

Beliau memuji Putrajaya kerana mempertahankan pendiriannya dan terus mengenakan syarat kepada Lynas.

Pada Selasa, Lynas mengumumkan bahawa lesen operasinya di Malaysia telah dibaharui selama tiga tahun berkuat kuasa 3 Mac.

Tiada perubahan pada syarat lesennya, bermakna syarikat itu akan dilarang mengimport dan memproses nadir bumi selepas 1 Julai.

Semalam, Lynas Malaysia mempersoalkan mengapa syarikat itu disasarkan oleh kerajaan berhubung kebimbangan mengenai sisa radioaktif, sedangkan ia dikawal selia oleh agensi kerajaan.

Pengurus besar keselamatan radiasinya, Ismail Bahari berkata, ia dikawal selia oleh Jabatan Tenaga Atom.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang yang berkata, kerajaan boleh membatalkan lesen Lynas jika ia gagal mematuhi syarat melarang pengeluaran sisa radioaktif di Malaysia selepas 1 Julai ini.

Dalam kenyataan berasingan hari ini, badan bukan kerajaan (NGO) Australia, Aidwatch berkata, ia menyokong keputusan Putrajaya untuk mengekalkan syarat terhadap Lynas, sambil menambah syarikat itu tidak mempunyai justifikasi untuk mengharapkan Malaysia menerima sisa radioaktif apabila kerajaan Australia Barat enggan berbuat demikian.

“Lynas tidak seharusnya tidak menghormati negara membangun yang telah memberikan pelepasan cukai selama 12 tahun, mempercepat permit pengeluarannya, dan bertolak ansur dalam penyimpanan dan pelupusan sisa toksik dan radioaktif bawah standard selama 10 tahun.

“Ini tidak wajar kerana ia tidak bertanggungjawab dari segi etika, sosial dan ekologi, serta tidak akan diterima di Australia,” kata Pengerusi AidWatch James Goodman.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.