Giat Program Dwibahasa tingkat kebolehpasaran, kerajaan diberitahu

Giat Program Dwibahasa tingkat kebolehpasaran, kerajaan diberitahu

DLP akan membantu meningkatkan kefasihan dalam BI, sekali gus meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran belia, kata kumpulan ibu bapa.

DLP memberikan pilihan pengajaran mata pelajaran STEM dalam Bahasa Inggeris. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis pendidikan menggesa supaya Putrajaya mengagihkan peruntukan lebih besar bagi menggiatkan Program Dwibahasa (DLP) dalam belanjawan kali ini, kerana ia dilihat mampu meningkatkan kebolehpasaran individu bagi tempoh jangka panjang.

Presiden Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim berkata, DLP akan membantu meningkatkan kefasihan dalam Bahasa Inggeris.

DLP memberikan pilihan pengajaran mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam Bahasa Inggeris.

Katanya, golongan majikan lebih cenderung memilih pekerja yang fasih berbahasa Inggeris, kemahiran yang menurut Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) pada 2021 menjadi antara lima ciri utama yang meningkatkan peluang untuk diambil bekerja.

“Sebagai negara perdagangan, kita perlu berkomunikasi dalam bahasa perdagangan, sains, teknologi dan digital. Malah Bahasa Inggeris ialah bahasa rasmi Asean,” katanya kepada FMT.

DLP juga dapat membantu dalam aplikasi bahasa itu menerusi mata pelajaran STEM. Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini meminta peruntukan khas untuk mata pelajaran STEM dalam Bajet 2023 untuk membendung kemerosotannya.

“Latihan guru mesti dipertingkatkan supaya pelajar mahir dalam mata pelajaran STEM, khususnya untuk menghasilkan tenaga kerja yang mahir dari segi digital dan fasih berbahasa Inggeris,” katanya.

Mak Chee Kin dari Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie) turut berkongsi pandangan sama, bahawa kerajaan perlu memberikan peruntukan lebih tinggi untuk program berkenaan.

“Ini bagi menggalakkan lebih banyak sekolah memilih untuk menjalankannya, dan melatih lebih ramai guru baharu. Guru yang masih tidak cukup fasih juga patut dilatih semula,” katanya.

Katanya, mata pelajaran STEM yang diajar dalam Bahasa Inggeris akan meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran belia seterusnya membantu mereka berjaya dalam kurun ke-21 ini.

Kajian Penang Institute pada 2022 tentang kebolehpasaran graduan dalam pasaran kerja negeri itu menunjukkan bahawa graduan STEM lebih menjadi pilihan.

Lebih 90% daripada mereka mendapat kerja selepas enam bulan, dengan kebanyakannya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik, serta mesin dan peralatan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon berkata, pihaknya mengharapkan peruntukan bagi memperbaiki kelas pendidikan khas, seperti buku Braille untuk golongan kurang upaya penglihatan.

Beliau turut meminta peruntukan ditambah untuk penyelenggaraan sekolah bagi memastikan keselesaan dan keselamatan kakitangan serta pelajar.

“NUTP turut mengharapkan peruntukan bagi guru ganti untuk mereka yang cuti bersalin atau cuti sakit lama, selain bantuan kewangan untuk makanan dan alat bantu mengajar ditambah,” katanya.

Bajet 2023 akan dibentangkan pada 24 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.