Tak boleh ada 2 kerajaan perpaduan, kata Ahli Parlimen Warisan

Tak boleh ada 2 kerajaan perpaduan, kata Ahli Parlimen Warisan

Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majlis berkata, pelik Warisan dilayan seperti pembangkang di Sabah, walaupun menyokong kerajaan perpaduan.

Isnaraissah Munirah Majilis berkata, Anwar Ibrahim perlu membuktikan beliau merupakan perdana menteri untuk semua. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen Warisan berkata, negara tidak patut mempunyai dua versi kerajaan perpaduan kerana partinya dilayan seperti pembangkang, walaupun ia antara parti pertama menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim.

Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) berkata, kerajaan perpaduan perlu berfungsi di peringkat persekutuan dan negeri.

“Tidak boleh ada dua set kerajaan perpaduan dalam pentadbiran ini.

“Sepatutnya kalau kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan adalah set A, maka set yang sama diterjemahkan di peringkat negeri,” katanya ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Isnaraissah berkata, parti itu tidak menuntut jawatan, tetapi hanya mahu dilayan secara adil dan diberikan ruang untuk berkhidmat di kawasan diwakili mereka.

“Ini mengingatkan saya kepada lagu ABBA, ‘The Winner Takes It All’.”

Katanya, Anwar perlu membuktikan beliau merupakan perdana menteri untuk semua.

Warisan kini mempunyai 16 Adun di Sabah, yang ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.