
Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad, berkata ia selepas pihaknya menerima laporan bedah siasat berhubung kematian pelajar jurusan perakaunan itu.
“Laporan bedah siasat mendapati punca kematiannya disebabkan terkena renjatan elektrik. Laporan ‘Histopathology Forensic’ ke atas tisu-tisu jantung juga menunjukkan mangsa menghidap penyakit ‘Myocardial Fibrosis’.
“Kehadiran penyakit ini meningkatkan risiko seseorang untuk mengalami gangguan ritma jantung yang boleh mendatangkan maut ditambah dengan suatu renjatan elektrik bervoltan rendah,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, Wan Hassan berkata, siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku dan kes dirujuk kepada pihak koroner untuk tindakan lanjut.
Justeru, beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman dan kredibiliti mana-mana pihak.
Media sebelum ini melaporkan, Vinosiny ditemukan meninggal dunia di bilik kolej kediamannya di Sintok, Kedah.
Polis pada awalnya dilaporkan berkata, kematian Vinosiny yang juga pelajar semester empat ketika itu dipercayai akibat sawan.
Ketua Polis Kubang Pasu, Rodzi Abu Hassan pada 24 Mei 2022 dilaporkan berkata, kes Vinosiny diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Bagaimanapun, keluarga Vinosiny dikatakan tidak berpuas hati dan akan mengambil tindakan undang-undang berhubung kematiannya.