
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Yaacob Md Sam sebulat suara memutuskan tiada rasional, atau tidak munasabah atau menyalahi undang-undang arahan pihak berkuasa negeri untuk melaksanakan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda di premis perniagaan.
“Dasar itu tidak melanggar Perkara 5 atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Justeru, kami menolak rayuan perayu. Perintah Mahkamah Tinggi disahkan. Memandangkan ini perkara yang melibatkan kepentingan awam, tiada perintah mengenai kos,” kata hakim menerusi prosiding dalam talian.
Dua lagi hakim dalam panel itu ialah P Ravinthran dan Nazlan Ghazali.
Ahli perniagaan, Jehan Abdullah dan Dana Palan Arunachalam merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 5 Ogos 2021, yang antara lain memutuskan mereka tidak mempunyai “locus standi” untuk membawa tindakan undang-undang kerana mereka hanya memegang lesen perniagaan, tetapi tidak memiliki premis perniagaan.
Antara lain, Mahkamah Tinggi juga menyatakan tulisan Jawi boleh digunakan untuk menyampaikan maksud dalam bahasa Melayu, oleh itu ia merupakan sebahagian daripada bahasa kebangsaan.
Pada mulanya, Jehan dan Dana Palan turut disertai seorang lagi lelaki, iaitu Phang Long Yen dalam permohonan semakan kehakiman mereka terhadap Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan kerajaan Pahang pada 2020.
Phang kemudiannya meninggal dunia dan bukan pihak dalam rayuan hari ini.
Ahli perniagaan itu, antara lain, memohon perintah membatalkan arahan MPK dalam surat bertarikh April 2019 supaya perniagaan menggunakan tulisan Jawi pada papan tanda di premis mereka.
Mereka memohon perintah membatalkan keputusan exco kerajaan negeri pada 1 Mac 2018 untuk menggalakkan penggunaan tulisan Jawi.
Mereka juga menuntut pengisytiharan Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 bertentangan Perkara 8 (kesamarataan) Perlembagaan.
Peruntukan itu menyatakan setiap lesen atau permit yang diberikan hendaklah tertakluk kepada syarat dan sekatan, sebagaimana difikirkan sesuai oleh PBT dan boleh dibatalkan pada bila-bila masa tanpa memberi alasan.
Media melaporkan kerajaan Pahang pada 2018 memutuskan semua premis perniagaan dan papan tanda jalan akan menggunakan tulisan Jawi dalam usaha memartabatkan penggunaan tulisan Jawi.
Pemilik premis boleh didenda sehingga RM250 dan lesen perniagaan mereka dibatalkan, jika enggan mematuhi arahan itu.
Dalam prosiding rayuan itu, MPK diwakili peguam Ong Siew Wan dan Saiful Edris Zainuddin bertindak bagi kerajaan Pahang, manakala perayu diwakili peguam T Gunaseelan.