Utamakan rawatan pesakit bukan pakaian, kata menteri

Utamakan rawatan pesakit bukan pakaian, kata menteri

Dr Zaliha Mustafa mengulas laporan seorang wanita mendakwa dinafikan rawatan di Hospital Kampar kerana berseluar pendek.

Dr Zaliha Mustafa menggesa doktor dan pengamal perubatan berpegang kepada ikrar membantu pesakit sebaik mungkin.
PETALING JAYA:
Semua pesakit wajar diberi keutamaan rawatan tanpa mengira kaum, bangsa atay pemakaian mereka, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

“Setiap pengamal perubatan perlu menjaga etika mereka setelah mengangkat sumpah. ‘Hippocratic Oath’ yang diikrar oleh para doktor dan pengamal perubatan, termasuk kesediaan membantu pesakit sebaik mungkin,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau mengulas laporan seorang wanita berusia 21 tahun mendakwa dinafikan rawatan di Hospital Kampar kerana berseluar pendek pada Ahad lalu.

Setibanya di hospital itu, dia yang berseluar pendek dimaklumkan seorang petugas yang pakaiannya tidak sesuai dan diminta menukar seluar panjang sebelum dibenarkan memasuki bilik kecemasan.

Semalam, kerajaan Perak dilaporkan berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan pesakit itu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii menggesa Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan bagi menghalang petugas hospital menafikan rawatan kepada pesakit kerana pemakaian mereka.

Sementara itu, Pengarah Hospital Kampar, Dr Khairul Azha Azam berkata, pegawai perubatan terbabit dalam kejadian itu sudah ditegur dan semua kakitangan diminta tidak mendiskriminasi pesakit berdasarkan cara pemakaian mereka.

Katanya, hospital itu tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan menghalang pesakit dirawat kerana pakaian mereka.

“Ini salah dan tidak patut dibiarkan berlaku lagi.

“Semua pesakit akan dirawat dalam apa jua keadaan, khasnya ketika kecemasan,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.