Terma penyelesaian saman Apandi terhadap Dr M rahsia

Terma penyelesaian saman Apandi terhadap Dr M rahsia

Menteri undang-undang berkata semua komunikasi berhubung rundingan penyelesaian serta terma dipersetujui dikelaskan mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.

Apandi Ali (kiri) menyaman kerajaan pada September 2020, memohon pengisytiharan pemecatannya sebagai peguam negara oleh Dr Mahathir Mohamad pada 2018 adalah tidak sah.
PETALING JAYA:
Terma penyelesaian saman sivil terhadap Dr Mahathir Mohamad oleh bekas peguam negara berhubung pemecatannya dikelaskan mengikut Akta Rahsia Rasmi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata Apandi Ali dan Jabatan Peguam Negara bersetuju terma penyelesaian dirahsiakan dan tidak didedahkan kepada umum.

“Selaras persetujuan tersebut, semua komunikasi berhubung rundingan penyelesaian serta terma-terma penyelesaian yang dipersetujui dikelaskan sebagai rahsia menurut peruntukan Akta Rahsia Rasmi,” katanya dalam jawapan bertulis kepada M Kula Segaran (PH-Ipoh Barat).

Kula meminta perdana menteri mendedahkan jumlah pampasan dibayar kerajaan kepada Apandi selaras penyelesaian di luar mahkamah.

Pada April tahun lalu, Apandi menyelesaikan saman terhadap kerajaan dan bekas perdana menteri itu mengenai dakwaan “pemecatannya secara tidak sah” pada 2018.

Peguam Apandi, Baljit Singh berkata: “Kerajaan, tanpa prejudis, bersetuju untuk menyelesaikan saman itu tanpa pengakuan liabiliti. Kami tidak boleh mendedahkan syarat penyelesaian.”

Bagaimanapun, Mahathir mempersoalkan tindakan Putrajaya memutuskan penyelesaian luar mahkamah, termasuk terma penyelesaian, selain menyatakan “terkejut” kerana terma itu dirahsiakan daripada pengetahuan umum, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan bayaran pampasan.

Apandi memfailkan saman itu pada September 2020, memohon pengisytiharan pemecatannya sebagai peguam negara oleh Mahathir pada 2018 tidak sah.

Beliau meminta RM2,233,599.36 sebagai ganti rugi khas, ganti rugi punitif dan am untuk dinilai oleh mahkamah.

Apandi, yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan dilantik sebagai peguam negara pada 27 Jul 2015. Kontraknya patut tamat pada 26 Julai 2018.

Katanya, sebelum PRU14 ketua setiausaha negara menerusi sepucuk surat memaklumkan tempoh khidmatnya akan dilanjutkan tiga tahun lagi.

Bagaimanapun, dalam surat bertarikh 5 Jun 2018, ketua setiausaha negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong memperkenan penamatan khidmatnya, namun beliau tidak ditunjukkan sebarang dokumen membuktikan perkara itu.

Kerajaan dalam pembelaannya berkata sebarang keputusan menamatkan kontrak Apandi dibuat berdasarkan undang-undang dan Mahathir tidak mempunyai peranan dalam keputusan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.