Polis masih siasat kematian pelajar UUM, kata menteri

Polis masih siasat kematian pelajar UUM, kata menteri

S Vinosiny ditemukan meninggal dunia di asrama kampus pada Mei tahun lalu dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.

Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin berkata pihaknya belum dimaklumkan hasil siasatan kematian pelajar UUM S Vinosiny. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis masih menyiasat kematian seorang pelajar yang dilaporkan terkena renjatan elektrik di sebuah asrama Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Mei tahun lalu, kata Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin.

Khaled berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) belum dimaklumkan hasil siasatan dan tidak akan mengulas lebih lanjut.

“Bagaimanapun, pihak KPT menerusi pihak UUM menghulurkan sokongan dan bantuan kepada pihak keluarga mendiang,” katanya dalam jawapan kepada pertanyaan lisan V Ganabatirau (PH-Klang) berhubung kemas kini kes Vinosiny.

Bapa Vinosiny, R Sivakumar, menuduh universiti itu cuai.

Beliau membuat laporan polis terhadap UUM pada 27 Mei, menggesa siasatan dijalankan berhubung sama ada universiti itu menyelenggara bangunannya dengan betul.

Naib Canselor UUM, Haim Hilman Abdullah berkata kerja penyelenggaraan kampus di Kedah itu dilaksanakan mengikut prosedur dan jadual.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.