Mati dalam tahanan: Keluarga tak tahu banduan masuk hospital

Mati dalam tahanan: Keluarga tak tahu banduan masuk hospital

Adik K Roopan berkata keluarganya terkejut apabila dimaklumkan mengenai kematian mangsa lima hari kemudian oleh pihak hospital.

K Sritaran (kanan), bersama bapa saudaranya, K Siva.
SHAH ALAM:
Adik K Roopan, banduan yang meninggal dunia di penjara Kajang sehari selepas keluar hospital dua tahun lalu, berkata keluarganya tidak dimaklumkan mangsa telah dimasukkan kes situ untuk rawatan.

K Sritaran, 26, yang memberi keterangan dalam inkues kematian abangnya itu berkata, keluarga itu hanya dimaklumkan Roopan dikejarkan ke hospital kerana mengalami masalah pernafasan, oleh rakan lokap yang menelefon mereka pada 17 Jun 2021.

Katanya, sebaik menerima berita itu beliau memaklumkan bapa dan bapa saudara yang terus pergi ke hospital untuk mendapat pengesahan. Beliau sendiri menghubungi pihak berkuasa penjara.

“Saya menelefon penjara Kajang untuk pengesahan, dan seorang pegawai menyuruh saya menunggu lima minit. Beliau kemudian memaklumkan panggilan yang saya terima sebelum itu adalah palsu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bapa saudaranya berjaya mendapat pengesahan pihak hospital bahawa Roopan berada di jabatan kecemasannya.

Mereka tidak dapat bercakap dengan Roopan di hospital disebabkan perintah kawalan pergerakan Covid-19 ketika itu. Sebaliknya, mereka hanya melihatnya dari jarak jauh.

Sritaran berkata, beliau sekeluarga terkejut apabila dimaklumkan pihak hospital mengenai kematian Roopan, lima hari kemudian.

Menurutnya, pakar patologi yang membuat bedah siasat terhadap Roopan memaklumkan kematiannya akibat darah beku di kaki kirinya.

Katanya, pakar berkenaan memaklumkan Roopan boleh diselamatkan jika mendapat rawatan lebih awal.

“Saya melihat mayatnya. Kaki kirinya menunjukkan tanda hitam sehingga buku lali. Doktor berkata ia disebabkan darah beku,” katanya.

Susulan itu, pada 25 Jun, Sritaran menerima dua panggilan telefon daripada rakan abangnya di penjara yang mendakwa Roopan mendapat layanan buruk dalam tahanan, termasuk dipukul wardar dan dikurung di ‘Blok Insaf’.

Sritaran membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) keesokannya.

Roopan dimasukkan ke hospital pada 17 Jun 2020 selepas mengadu kesukaran bernafas, sebelum dibenarkan keluar pada 20 Jun. Dia bagaimanapun meninggal dunia sehari kemudian, lapan hari sebelum rayuan kes bunuh terhadapnya.

Inkues di hadapan Koroner Rasyihah Ghazali bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.