KJ dilantik ahli lembaga pengarah JDT, penasihat belia Johor

KJ dilantik ahli lembaga pengarah JDT, penasihat belia Johor

Pelantikan itu berkuat kuasa serta-merta.

Khairy Jamaluddin tekad berusaha bersungguh-sungguh demi kecemerlangan berterusan JDT serta pemerkasaan belia Johor.
PETALING JAYA:
Khairy Jamaluddin dilantik ahli lembaga pengarah kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) serta penasihat belia Johor berkuat kuasa serta-merta.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata, beliau menghargai kepercayaan yang diberikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan tekad berusaha bersungguh-sungguh demi kecemerlangan berterusan JDT serta pemerkasaan belia Johor.

“Saya amat teruja untuk menyertai kelab JDT FC yang merupakan kelab bola sepak terbesar di Asia Tenggara serta mempamerkan prestasi cemerlang pada setiap musim perlawanan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

“Saya akan menyumbangkan sedikit pengalaman yang ada pada saya untuk membantu Tunku Mahkota Johor dalam visi Tuanku menjadikan JDT FC kelab bola sepak paling unggul di Asia.

“Di samping itu, saya juga akan membantu merealisasikan hasrat Tunku Mahkota Johor dalam memperkasakan belia Bangsa Johor melalui pendidikan, latihan, keusahawanan, kebajikan dan juga memberi perlindungan sewajarnya kepada remaja dan kanak-kanak.”

Sementara itu, JDT mengalu-alukan pelantikan Khairy atas dua jawatan itu.

Pelantikan Khairy heboh diperkatakan selepas Tunku Ismail memuat naik hantaran di Instagram peribadinya berhubung tawaran jawatan itu.

“Pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang di negara ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan belia serta kemajuan bola sepak Johor,” kata Tunku Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.