Lesen Lynas mungkin dibatal jika gagal patuh syarat

Lesen Lynas mungkin dibatal jika gagal patuh syarat

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata tiada pihak berhak 'menghasilkan sisa radioaktif secara berterusan' di Malaysia.

Lesen Lynas untuk beroperasi di Malaysia diperbaharui selama tiga tahun berkuat kuasa 3 Mac ini dan syarikat itu dilarang mengimport serta memproses nadir bumi selepas 1 Julai ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan boleh membatalkan lesen Lynas, jika gagal mematuhi syarat melarang pengeluaran sisa radioaktif di Malaysia selepas 1 Julai ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Kenyataan itu menyusul lesen Lynas dilanjutkan tiga tahun lagi tanpa sebarang perubahan syarat, yang bermakna syarikat itu dilarang mengimport dan memproses nadir bumi mulai Julai nanti.

Chang berkata, kerajaan memahami kepentingan industri nadir bumi dan komited mewujudkan persekitaran mesra perniagaan, tetapi tiada pihak berhak “menghasilkan sisa radioaktif secara berterusan” di Malaysia.

“Lynas perlu mematuhi syarat yang dikenakan sejak Mac 2020 supaya aktiviti ‘cracking and leaching’ (C&L) yang menghasilkan sisa radioaktif akan dijalankan di Australia.

“Tiada aktiviti C&L dilakukan di Lynas Advanced Material Plants (Lamp) di Gebeng, Pahang selepas Julai 2023.

“Jika Lynas gagal mematuhi syarat yang dikenakan kepada mereka, lesen mereka boleh dibatalkan,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Semalam, Lynas mengumumkan lesen operasinya di Malaysia diperbaharui tiga tahun lagi berkuat kuasa 3 Mac ini, tanpa sebarang perubahan kepada empat syarat ditetapkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.

Syarat pertama ialah Lynas mula membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) untuk melupuskan sisa radioaktifnya dalam tahun pertama dari tarikh lesen diluluskan.

Syarat kedua ialah mengemukakan pelan pembangunan kerja pembinaan PDF dan melaporkan statusnya seperti ditetapkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Lynas juga perlu memastikan kilang C&L di luar Malaysia beroperasi sebelum Julai dan ia tidak lagi dibenarkan mengimport bahan mentah mengandungi bahan radioaktif semula jadi (Norm) ke Malaysia.

Syarat terakhir ialah mempunyai deposit kewangan bagi mematuhi syarat lesen berkaitan.

Chang berkata, Lynas mengemukakan permohonan bagi menggugurkan empat syarat itu, tetapi ditolak AELB.

Katanya, PDF Lynas kini siap 32% dan kerajaan berharap ia akan disiapkan tahun ini.

Beliau berkata, Lynas menghasilkan kira-kira 1.08 juta metrik tan sisa radioaktif sejak beroperasi di Malaysia pada 2012 dan jumlah itu dijangka mencecah 1.2 juta metrik tan menjelang Julai ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.