Inkues tanpa pengetahuan, keluarga pelajar UUM rancang saman

Inkues tanpa pengetahuan, keluarga pelajar UUM rancang saman

Bapa S Vinosiny menerima surat dari Mahkamah Sesyen Alor Setar menyatakan kematian pelajar itu adalah kemalangan berpunca daripada renjatan elektrik.

Keluarga S Vinosiny mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai inkues kematian pelajar itu. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Keluarga S Vinosiny, yang dilaporkan meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik di asrama Universiti Utara Malaysia (UUM) tahun lalu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kematian pelajar itu.

Peguam, M Manoharan, berkata keluarga mangsa akan memfailkan saman terhadap universiti, kerajaan, polis, dan Pejabat Peguam Negara bagi menuntut ganti rugi kerana mengadakan inkues tanpa pengetahuan waris.

Katanya, bapa mangsa, R Sivakumar menerima surat dari Mahkamah Sesyen Alor Setar bertarikh 1 Feb berhubung punca kematian pelajar itu.

Surat yang dilihat FMT menyatakan, kematian Vinosiny berpunca “satu kemalangan akibat renjatan elektrik” dan menambah, rumusan itu dibuat selepas kes dirujuk ke Mahkamah Koroner.

Manoharan mendakwa keluarga mangsa tidak dimaklumkan mengenai inkues kematian Vinosiny.

“Saya tidak pernah mendengar satu inkues dijalankan dan kesimpulan dibuat tanpa siasatan yang teratur serta tidak memanggil saksi. Ini sesuatu mengejutkan dan tidak boleh diterima,” katanya.

Katanya, keluarga memohon untuk mendapatkan nota prosiding inkues dan dokumen berkaitan, di mana mereka akan kaji dulu sebelum memfailkan saman.

Terdahulu, dalam jawapan di Parlimen, Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin berkata polis masih menyiasat kematian Vinosiny. Katanya
kementerian belum dimaklumkan hasil siasatan dan tidak akan mengulas lebih lanjut.

Manoharan mendakwa Khaled sebagai “naif dan jahil” mengenai perkara itu dan bertanya mengapa beliau menyatakan siasatan polis masih berjalan sedangkan inkues bagi mencari punca kematian Vinosiny sudah selesai.

Vinosiny ditemui meninggal dunia pada 21 Mei tahun lalu. Bapanya menuduh universiti itu cuai.

Beliau membuat laporan polis terhadap UUM pada 27 Mei, menggesa siasatan dijalankan bagi mengetahui sama ada universiti itu menyelenggara bangunan dengan betul.

Naib Canselor UUM, Haim Hilman Abdullah, berkata kerja penyelenggaraan kampus universiti itu di Kedah dijalankan mengikut prosedur dan jadual.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.